suria

Masalah Suami Isteri Boleh Jejas Kelancaran Ibadat

ASSALAMUALAIKUM. Rezeki menjadi tetamu Allah sentiasa dinantikan oleh sesiapa saja, malah, bagi mereka yang sudah beberapa kali ke Tanah Suci Makkah dan Madinah turut mengharapkan undangan itu untuk melepaskan rindu.

Kadangkala bakal tetamu Allah SWT berdepan dengan masalah sedia ada dari tanah air dan apabila mereka terpilih menjadi tetamu-Nya, masalah dihadapi turut dibawa bersama-sama. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan ibadat harian di Tanah Suci.

Jika masalah tidak berat dan boleh diketepikan seketika, tidak mengapa, tetapi bagaimana jika membabitkan hubungan suami isteri? Sudah tentu ia menyesakkan fikiran dan dikhuatiri menjadi punca pertelingkahan dan bermasam muka di Tanah Suci.

Teringat saya pada kisah sepasang suami isteri yang menunaikan umrah bersama-sama saya pada 2008. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata berusia di antara lima dan sembilan tahun. Dikenali sebagai Johan dan Azeda. Johan adalah seorang kontraktor manakala Azeda seorang penjawat awam.

Segala urusan mendaftar umrah dibuat oleh Johan. Beliau yang sering datang ke pejabat agensi pengendali umrah untuk menghantar dokumen dan cek. Mereka memilih untuk duduk dua orang sebilik.

Ketika kursus umrah diadakan di sebuah masjid di Kelana Jaya, Johan dan Azeda turut hadir. Dua minggu selepas kursus umrah dan kerohanian, tibalah masa ditunggu oleh semua bakal tetamu Allah.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, mereka sering berdua dan gembira. Azeda sentiasa mahu berdamping dengan Johan. Perlakuan mereka seperti pasangan yang baru diijabkabulkan.

Namun, hakikatnya, mereka sudah ada tiga anak yang turut menghantar pasangan itu ke KLIA bersama-sama keluarga kedua-dua belah pihak. Perjalanan kami ke Jeddah seterusnya ke Madinah agak meletihkan tetapi mereka yang kali pertama kelihatan teruja untuk tiba di kota bercahaya, Madinah Munawarah yang bersemadinya jasad junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W.

Sewaktu di Madinah, Azeda kelihatan stres. Jelas terpancar daripada seraut wajahnya. Johan pula agak tenang dan lebih gemar bersendirian ke mana-mana saja. Sesekali Azeda kelihatan menghampiri suaminya tetapi Johan membuat acuh tidak acuh sahaja.

Saya dan seorang lagi rakan menyedari keadaan yang dilalui pasangan itu tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa. Bagaimanapun, Alhamdulillah, Azeda dan Johan cuba mengawal situasi agar tidak begitu ketara dan menimbulkan persoalan kepada jemaah lain.

Setelah empat hari di Madinah, tibalah masa untuk kami berangkat ke Makkah bagi menyempurnakan ibadat umrah. Jubah serba putih membaluti tubuh Azeda yang kecil. Wajahnya agak gusar namun saya tidak pula bertanya kerana bimbang boleh mencetuskan situasi tidak menyenangkan.

Setelah selesai ibadat umrah, pasangan itu banyak membawa haluan masing-masing sehinggakan Azeda kelihatan amat tertekan kerana sering ditinggalkan Johan. Dia akhirnya mengadu perihal masalah dihadapi.

“Kak saya dah tak tahan dengan perangai Johan,” ujar Azeda sesudah bersarapan di dewan makan.

“Kenapa?” tanya saya ringkas.

“Dia buat tidak tahu saja. Sebenarnya dari Madinah lagi tapi saya sabar. Sekarang ini, dia lebih suka ke masjid bersendirian,” ujarnya lagi.

“Awak nak berteman untuk ke masjid ke?” tanya saya pula.

“Iyelah, jika boleh naklah bersama-sama suami tetapi dia suka tinggalkan saya,” balas Azeda.

“Sabarlah. Mungkin dia nak cepat dan beribadat sendiri,” pujuk saya.

“Sedih hati saya kak,” ujar Azeda lagi.

“Kenapa sedih? Perkara kecil saja,” balas saya.

“Saya nak pergi solat sama-sama dan doa sama-sama dia kak tapi dia selalu tinggalkan saya,” ujar Azeda hiba.

“Dahlah, awak boleh pergi solat dengan kakak atau jemaah lain. Jangan sedih sangat pasal masalah ni,” ujar saya.

“Sebenarnya kak, dia nak berkahwin lagi. Sebab itu jugalah dia bawa saya datang ke sini, nak berdoa agar saya lembut hati dan izinkan dia berkahwin lagi,” cerita Azeda dengan linangan air mata. 

Saya diam tidak terkata. Tidak tahu apa yang harus saya cakapkan dan nasihatkan kerana ia membabitkan rumah tangga pasangan itu.

“Dia kenal perempuan tu dah lama. Perempuan tu bekas kakitangan dia dan mereka saling berhubung walaupun perempuan tu dah berhenti kerja. Saya sedih sebab anak-anak masih kecil.

Bimbang dia abaikan kami semua,” cerita Azeda terus dengan wajah penuh suram. Saya sekadar mendengar. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Namun, sebelum Azeda meninggalkan saya untuk naik ke bilik penginapan, saya hanya minta dia bersabar dan berdoa yang terbaik untuk dirinya sekeluarga.

Sekembali ke tanah air, hubungan saya dan Azeda masih berterusan dan setahun selepas pulang dari mengerjakan umrah, Azeda maklumkan kepada saya bahawa Johan berkahwin dengan perempuan itu dan jarang pulang ke rumah.

Ketika kunjungan umrah pada 2015, sekali lagi saya berdepan dengan situasi yang sama. Keadaan itu berlaku pada jemaah sebilik saya yang berusia pertengahan 40-an. Dikenali sebagai Zahara.

Dia tidak banyak bercakap dan sering bersendirian ke masjid walaupun datang bersama-sama suaminya. Kekangan masa kerana saya menyelaras krew media di Tanah Suci untuk menyempurnakan penggambaran menyebabka saya jarang berbual dengan Zahara.

Namun, beberapa hari sebelum pulang, saya sempat berbual dengan Zahara dan bertanya perihal keluarganya.

“Banyak beli barang Zahara?” tanya saya memulakan perbualan selepas melihatnya membongkar barang di dalam bagasi besar.

“Adalah sikit untuk anak-anak,” balas Zahara, ibu kepada tujuh cahaya mata.

Tiba-tiba kak Siti mencelah, sekali gus mengejutkan saya yang tidak tahu apa-apa ketika itu.

“Sabarlah Zahara. Awak doa di Multazam dan Hijir Ismail agar suami batalkan niat dia nak berkahwin lagi,” pesan kak Siti.

Saya yang sebelum itu berbaring terus duduk di atas katil memandang tepat ke wajah Zahara. Air matanya mengalir deras dan menceritakan perihal masalah yang dihadapinya dan suami yang berpendapatan tidak seberapa tetapi bercadang berkahwin lagi.

“Saya risau sebab dia tidak mampu. Sebab selama ini pun, saya bantu tambah pendapatan keluarga tetapi tiba-tiba dia bagitahu nak kawin lagi. Saya terkejut. Anak kami tujuh orang. Besar tanggungjawab dia,” ujar Zahara.

Zahara terus bercerita meluahkan masalah yang terbuku di dalam hatinya . Semua mendengar penuh simpati.

Kak Siti dan kak Halimah menasihatkan Zahara agar bersabar dan banyak berdoa. Zahara pula tidak kering air mata ketika menyusun barang-barang di dalam bagasi mengenangkan anaknya yang berderet dan mengharapkan kasih sayang seorang ayah.

“Saya nak bersolat bersama-samanya tetapi dia sering tinggalkan saya. Saya nak berdoa bersama-sama di Kaabah dengan suami tetapi dia pergi dulu ke masjid. Akhirnya, saya sendirian ke masjid,” ujar Zahara.

“Tak mengapalah Zahara. Awak pun boleh ke masjid sendirian. Lagi pun tidak jauh. Awak dah tahu jalan pergi balik ke masjid. Berdoalah di bawah Pancuran Emas di dalam Hijir Ismail jika di Multazam penuh sesak,”ujar saya.

"Saya tahu suami mesti berdoa untuk berkahwin lagi sedangkan saya berdoa agar tidak dimasukan. Macam mana tu?" tanya Zahara keliru.

"Semua Allah tentukan Zahara. Kita berdoa dan bertawakal.InsyaAllah ada penyelesaiannya," ujar kak Siti yang bertindak sebagai petugas pada waktu itu.

Ikuti kisah selanjutnya minggu depan, insyaAllah.


KLIA, Azeda, Zahara

Artikel Lain