suria

Hukuman Sebat Mandatori Terhadap Pesalah Jenayah Seksual

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat malam Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, yang antara lain memberi laluan kepada penguatkuasaan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah jenayah seksual apabila akta itu diwartakan kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, di bawah pindaan akta itu, hukuman sebat mandatori boleh dikenakan ke atas pesalah yang melakukan kesalahan rogol, sumbang mahram, persetubuhan seksual bertentangan dengan aturan tabii secara rela dan tanpa kerelaan, serta kesalahan merangsang kanak-kanak kepada perbuatan kelucahan melampau.

"Rang Undang-Undang ini menunjukkan langkah serius kerajaan untuk menangani salah laku melibatkan jenayah seksual dalam masyarakat yang semakin berleluasa pada hari ini," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, yang kemudiannya diluluskan dengan undian majoriti pada 11.30 malam Selasa. 

Pindaan akta itu turut menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap seseorang yang menyebabkan kecederaan kepada bekas suami atau isterinya, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau anggota keluarga lain dan tidak terhad kepada mereka yang masih dalam perkahwinan sah sahaja. 

Razali berkata, pindaan rang undang-undang itu turut memperluas peruntukan di bawah Seksyen 377 CA bagi kesalahan memasukkan mana-mana bahagian badan selain zakar seperti jari atau lidah ke dalam faraj atau dubur mangsa, yang mana pesalah boleh didakwa.

"Perluasan dan penjelasan terhadap Seksyen 377 CA itu adalah sebagai usaha kerajaan mencegah jenayah seksual bukan sahaja yang melibatkan mangsa kanak-kanak, malah terhadap masyarakat umum," katanya. 

Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 juga memasukkan topik dokumen lucah bagi mengukuhkan larangan penjualan, pengedaran, pemilikan, penyewaan, penghasilan, pengiklanan, pembelian dokumen lucah dan lain-lain perbuatan.

Dokumen lucah tersebut antara lain meliputi fotografi atau rakaman visual lain, dan perkara yang dirakam, disimpan, diproses atau dihasilkan semula atau dihasilkan oleh komputer. - Bernama

Artikel Lain