suria

Rasuah: SPRM Tahan Seorang Lagi Ahli Perniagaan Bergelar 'Tan Sri'

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' atas dakwaan rasuah.

Suspek berusia 63 tahun itu yang juga kontraktor bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ditahan kerana didakwa mengemukakan tuntutan palsu kepada jabatan tersebut.

Tuntutan itu berkaitan pembekalan geotube bagi kerja-kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian bagi JPS.

Difahamkan, suspek telah mengemukan invois pembayaran berjumlah hampir RM 13 juta bagi pembekalan sebanyak 358 unit geotube sedangkan pembekalan yang dibuat hanya sebanyak 89 unit bernilai kira-kira RM4 juta.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan serentak oleh SPRM kira-kira pukul 10.30 pagi itu adalah empat pegawai JPS.

Antara mereka yang ditahan dari JPS adalah pengarah bahagian projek khas, jurutera tempatan, jurutera tapak dan penolong jurutera.

Kesemua mereka disyaki telah bersubahat dengan Tan Sri tersebut yang merupakan pemilik syarikat yang dilantik untuk membekalkan alat geotube untuk projek JPS.

Lelaki bergelar Tan Sri itu ditahan di kediamannya di Johor kira-kira pukul 10.30 pagi Rabu.

Kesemua mereka akan dihadapkan ke mahkamah majistret Putrajaya pada Khamis untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

rasuah, Tan Sri, JPS

Artikel Lain