suria

Datuk Paksa Pekerja Kilang Kerja Lebih Masa Akan Dibebaskan

KLANG: Datuk berusia 29 tahun yang ditahan kerana memaksa pekerja kilangnya bekerja lebih masa akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu akan didakwa di mahkamah atau tidak.

Jurucakap polis berkata lelaki itu akan dibebaskan kemudian pada petang Rabu apabila tempoh remannya berakhir.

"Perintah reman pertamanya berakhir pada Selasa dan mahkamah membenarkan tempoh lanjutan selama sehari lagi.

"Memandangkan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis kemudian, kita akan menunggu keputusan dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mendakwanya atau tidak," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu sudah dihantar kepada DPP pada Selasa.

Lelaki itu direman pada Rabu lalu dan sedang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen dan Akta Pekerja.

Pasukan Petugas Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri  pada 28 Mac lalu membongkar lelaki berkenaan mengeksploitasi 172 pekerja wanita terdiri daripada rakyat tempatan, warga Indonesia dan Myanmar untuk bekerja lebih 16 jam sehari tanpa cuti.

Pembongkaran tersebut adalah hasil risikan selama tiga minggu susulan aduan yang diterima pihaknya mengenai kegiatan mencurigakan di kilang pemprosesan sarang burung walit di sini.

Artikel Lain