suria

Mahfuz Tak Tahu Muktamar PAS Hujung Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, mengaku tidak dimaklumkan tentang Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang dijadualkan berlangsung 28 April hingga 1 Mei ini.

Menurutnya, beliau masih beranggapan muktamar tahun ini akan berlangsung pada Jun ini.

“Bila muktamar? Lambat lagi. Bulan enam selalunya muktamar.

"Saya tidak tahu. Saya tidak ada makluman,” katanya kepada media di Dewan Rakyat, di sini.

Bekas Naib Presiden Pas itu bagaimanapun mengaku beliau masih lagi ahli Pas dan menegaskan hanya akan hadir muktamar pada Jun ini.

“Bulan enam saya akan hadir. Yang lain saya tidak tahu, mana ada?," katanya.

Mahfuz sebelum ini dilihat secara terbuka mengkritik dasar parti dan pemimpin Pas malah beliau juga sering dilihat berada sepentas dengan Bersatu dan Amanah.

Ekoran itu, beliau turut menerima desakan agar meletak jawatan dan menyertai parti lain daripada terus menjadi 'duri dalam daging' dan mempergunakan jawatannya untuk mengkritik Pas.

Muktamar Pas kali ini akan diadakan di Kompleks Pas, Alor Setar, Kedah.

Persidangan itu akan menentukan hala tuju parti Islam itu dan persiapan ke arah PRU14. Ia akan dirasmikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.- Sinar Harian

Mahfuz, PAS

Artikel Lain