suria

Malaysia Sumbang AS$27 Juta Kepada IDA

Othman Aziz

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Malaysia menyumbang sebanyak US$27 juta kepada program penambahan dana ke-18 Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) bagi tempoh 2018 sehingga 2026.

Cadangan itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz.

Othman ketika membentangkan usul berkenaan mengikut Seksyen 5, Akta Persatuan Pembangunan Antarabangsa 1960 (Akta 431) berkata sumbangan akan dilakukan secara ansuran selama sembilan tahun iaitu US$3 juta (US$1=RM4.48) setiap tahun bagi meminimumkan aliran tunai ke luar negara.

"Sumbangan ini bertujuan mengekalkan status negara anggota dan peratusan kuasa mengundi Malaysia di dalam IDA. Peratusan kuasa mengundi Malaysia di dalam IDA sehingga 31 Disember 2016 ialah 0.36 peratus," katanya.

Pada 2014 Malaysia buat julung kalinya menjadi negara penderma IDA dengan dengan jumlah sumbangan program penambahan dana IDA kali ke-17 sebanyak US$27 juta bagi tempoh Julai 2014 sehingga Jun 2017.

Sebelum ini, Malaysia hanya menyumbang sebagai anggota asas mulai 1971 sehingga 2014 dengan jumlah sumbangan terkumpul US$16.7 juta.

Katanya keputusan Malaysia untuk terus menjadi negara penderma IDA adalah  bersesuaian dengan status negara sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi dan bertepatan dengan pendirian negara yang sentiasa menyokong pembangunan di negara membangun dan kurang membangun.

IDA adalah institusi pinjaman di bawah kumpulan Bank Dunia yang ditubuhkan pada tahun 1960 untuk membantu negara-negara anggota miskin dengan memberi geran dan pinjaman jangka panjang berasaskan syarat-syarat yang longgar tanpa faedah atau dengan faedah yang rendah.

Institusi itu dianggotai 173 negara anggota terdiri daripada negara-negara maju, membangun dan kurang membangun.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Lain