suria

Laporan Kimia Kes Dakwaan Rogol Warga Thailand Seminggu Lagi - Polis

MELAKA: Laporan ujian kimia bagi kes wanita Thailand yang didakwa dirogol di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah bulan lepas dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu lagi, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata bahan bukti bagi kes tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia dua minggu lepas dan laporan keputusan ujian berkenaan akan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

"Kita telah merujuk kertas siasatan kes ini pada pendakwa raya di Bukit Aman sama ada siasatan kes ini akan diteruskan atau tidak, tetapi yang lebih penting adalah keputusan laporan kimia tersebut.

"Laporan berkenaan penting sebagai pembuktian nyata sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kes ini," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di sini Rabu.

Pada 22 Mac lepas akhbar tempatan melaporkan seorang wanita warga Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota Jabatan Imigresen Melaka ketika proses rakaman percakapan di depot berkenaan awal bulan lepas.

Pada 27 Mac lepas, media melaporkan wanita Thailand yang mendakwa dirogol itu memberitahu wakil Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia yang menemuinya, insiden tersebut tidak berlaku.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata tindakan terhadap wanita berkenaan juga boleh diambil sekiranya dia didapati membuat laporan palsu terhadap kakitangan awam.

"Ini semua kita akan tunggu hasil siasatan yang lebih terperinci selepas kita mendapat keputusan daripada ibu pejabat pendakwaan di Bukit Aman," katanya.

Ditanya tentang kenyataan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya bahawa perkahwinan antara mangsa rogol bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial, Abd Jalil berkata tindakan terhadap perogol khasnya melibatkan mangsa di bawah umur tetap akan diambil di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Kita mempunyai undang-undang sedia ada bagi melindungi mangsa rogol di bawah umur walaupun mereka melakukannya suka sama suka atau laporan polis yang dibuat ditarik balik. Walaupun kanak-kanak berkenaan berkahwin dengan mangsa rogol, lelaki tersebut tetap akan dikenakan tindakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya indeks jenayah negeri Melaka meningkat sebanyak 27 kes dalam tempoh Jan hingga Mac tahun ini berbanding 815 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Walaupun statistik jenayah indeks meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, namun kes bagi bulan Mac menurun sebanyak 29 kes kepada 195 kes.

Polis Melaka juga berjaya menyelesaikan sebanyak 438 kes atau 53.74 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya. - BERNAMA

laporan kimia, kes rogol

Artikel Lain