suria

Curi Telefon Di Low Yat: Mahkamah Kekal Hukuman Penjara, Denda Shahrul

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu menolak rayuan seorang penganggur untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, yang mencetuskan isu perkauman dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada 24 Mei 2016, terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz, 24.

Mahkamah bagaimanapun meminda Seksyen yang dihadapinya daripada Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda kepada Seksyen 379 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam penghakimannya Ab Karim berkata mahkamah membuat pindaan Seksyen itu berdasarkan keterangan pengadu yang merupakan saksi pendakwaan pertama bahawa pengadu yang menyerahkan telefon bimbit itu kepada perayu (Shahrul Anuar) dan bukannya dia yang mengambil telefon itu di dalam premis tersebut.

"Walaupun hukuman Seksyen 379 berbeza dengan hukuman Seksyen 380 namun ia tetap merupakan satu kesalahan curi. Kecurian di bawah Seksyen 379 ini masih tetap melibatkan harta benda, ketenteraman dan kepentingan awam.

"Kesalahan curi ini harus ditangani sebelum ia menular. Setelah menimbang, mahkamah mendapati hukuman empat bulan penjara adalah sesuai dan wajar dan bukanlah satu hukuman yang celaru," katanya yang turut menolak rayuan pihak pendakwaan bagi menambah hukuman itu.

Ab Karim bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan dengan ikat jamin RM3,000.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal walaupun pertuduhan terhadap Shahrul Anuar telah dipinda kepada Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Perbuatan mencuri walaupun dilihat kecil tetapi dapat membiakkan kesalahan lain di masa hadapan. Dalam kes ini kecurian berlaku di dalam premis yang telah menimbulkan kekacauan di tempat awam," katanya.

Shaharudin berhujah bahawa anak guamnya berasal daripada keluarga susah, oleh itu memohon supaya sabitan dan hukuman itu diketepikan.

Shahrul Anuar didapati bersalah mencuri telefon bimbit berharga RM800 yang berada bawah jagaan See Ming Ho, di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada 4.47 petang, 11 Julai 2015.

Pada 24 Mei 2016, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.Tertuduh membayar denda itu. - BERNAMA

curi telefon, Plaza Low Yat

Artikel Lain