suria

Tragedi Lemas: Mayat Mangsa Terakhir Ditemui

Muhammad Aiman.

BUKIT BERUNTUNG: Mayat terakhir daripada lapan kanak-kanak yang dihanyutkan air deras semasa memancing di Sungai Selangor di Kampung Timah di sini, ditemui.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata, mayat Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, ditemui pada pukul 1.15 petang Ahad.

Katanya, mayat Muhammad Aiman ditemui nelayan dekat pam air kira-kira tiga kilometer dari kawasan pencarian.

Terdahulu, mayat Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, ditemui kira-kira pukul 10.20 pagi di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat.

Mayat Muhammad Aiman dikenal pasti oleh abangnya berusia 21 tahun manakala mayat Muhammad Ikhwan dikenal pasti oleh bapanya.

Mangsa dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Beruntung pada Ahad selepas bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang pada Jumaat lepas, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai tersebut.

Seorang daripada mereka selamat manakala tujuh lagi ditemukan lemas. 

Selain Muhammad Ikhwan dan Muhammad Aiman, lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.



Artikel Berikut

Artikel Lain