suria

Model Dakwa Nampak Lori Sebelum Pandu Lawan Arus

BUKIT MERTAJAM: Model sambilan berusia 19 tahun yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal pada Selasa mendakwa melihat seakan-akan ada lori di depannya menyebabkan dia membuat pusingan U berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sebelum kemalangan ngeri itu, wanita tersebut terlibat dalam kemalangan awal kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

"Dia memandu di laluan tengah lebuhraya tiga lorong itu sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba dan meneruskan pemanduan.

"Keretanya bergesel dengan dua kereta lain dan sebuah van sebelum terus memandu dari KM128 hingga KM134, melawan arus di lorong laju.

"Polis mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dari Plaza Tol Sungai Dua," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, di sini, Rabu.

Nik Ros berkata suspek telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di matanya.

Malah suspek turut menjalani ujian darah dan air kencing.

"Dia didapati positif amfetamin dan bukannya methamphetamine seperti yang dilaporkan sebelum ini. Namun, kami belum menerima keputusan bacaan alkohol menerusi ujian darahnya," kata beliau.

model sambilan, lawan arus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain