suria

Keputusan Rayuan Kes Bunuh Sosilawati Pada 16 Mac

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk keputusan rayuan akhir oleh empat lelaki yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya.

Ketika dihubungi, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili R. Matan, berkata mereka menerima surat bertarikh 3 Mac daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan tentang tarikh keputusan itu.

Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili seorang lagi perayu, T. Thilaiyalagan turut mengesahkan bahawa tarikh bagi keputusan itu ditetapkan pada 16 Mac.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, ketika dihubungi Bernama berkata, beliau dimaklumkan tentang tarikh keputusan itu pada Khamis.

Pada 8 November tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar penghujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Bekas peguam N Pathmanabhan, 46, dan pekerja ladang Matan, 25, Thilaiyalagan, 24, dan R Kathavarayan, 36, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang sehari selepas mereka didakwa pergi ke Banting untuk tujuan jual beli tanah. Pathmanabhan, Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan kalah dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, seorang daripada tiga hakim dalam panel itu, dalam penghakimannya berkata keterangan langsung menunjukkan bahawa Sosilawati dan pembantunya berada di ladang kepunyaan Pathmanabhan ketika mereka menemui ajal.

Mereka disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 kerana melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting pada 30 Ogos 2010.

Peguam Gurbachan Singh turut mewakili Thilaiyalagan manakala Manjeet Singh Dhillon bagi Pathmanabhan dan T. Vijayandran bagi Kathavarayan.

Sosilawati Lawiya

Artikel Lain