suria

Cikgu 'Sanggul Tinggi' Dalam Komik Lat Meninggal Dunia

Hew Chai Kee menunjukkan gambar Mrs Hew yang dilukis oleh Lat. -foto
IPOH: Mrs Hew, seorang guru bercermin mata, bersanggul tinggi ala sarang lebah dan sering bersama rotan, salah satu watak popular dalam komik Lat, telah meninggal dunia pada usia 80.

Anak sulungnya, Alvin Hew, 53, berkata ibunya, Lee Siew San yang amat berbangga dirinya menjadi salah satu watak dalam komik Lat, meninggal dunia di kediaman mereka di Canning Garden kira-kira pukul 1.30 pagi Rabu.

"Ketika Lat pertama kali melukis dirinya dalam komik, beliau tahu watak itu adalah dirinya. Walaupun berasa bangga, tetapi beliau tidak pernah memberitahu orang ramai," katanya.

Alvin berkata gambaran Lat mengenai ibunya telah menjadikan Siew San terkenal selain membolehkan beliau bercampur dengan orang-orang kenamaan apabila Lat menjemput beliau menghadiri pameran, termasuklah tayangan perdana Lat the Musical.

"Kami amat berbangga dengan warisan yang dicipta oleh Lat ini berdasarkan karektornya," kata Alvin yang ditemui di gereja, Khamis.

Suami Siew San, Hew Chai Kee berkata beliau juga sedikit-sebanyak terkena tempias status selebriti isterinya.

"Beliau pernah berkata 'saya adalah isteri Hew Chai Kee' dan saya juga pernah berkata 'saya adalah suami Moira Hew'," katanya sambil ketawa.

Chai Kee, 87, seorang bekas pelombong timah, pernah bertanding menentang pengasas bersama PPP Datuk S.P. Seenivasagam bagi kerusi Menglembu pada pilihan raya umum tahun 1969.

Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, telah memberi penghormatan kepada guru bahasa Inggerisnya itu, sambil menambah Siew San adalah salah seorang individu terawal yang memberikan pengaruh dalam kehidupannya.

Katanya, beliau belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) di Jalan Pasir Putih selama dua tahun dari 1962.

"Saya dan rakan-rakan adalah budak kampung yang tidak bercakap walau sepatah perkataan Inggeris. Kemudian, hanya dalam masa dua tahun, saya tiba-tiba faham apa yang saya dengar di radio.

"Beliau menggalakkan saya melukis di dinding bilik darjah dan untuk majalah sekolah.

"Wajahnya serius seperti dalam komik, tetapi beliau sangat baik hati. Jika tidak kerana dedikasinya, tiada apa yang dapat kami pelajari," katanya.

Mendiang turut meninggalkan dua lagi anak, Belinda, 52, dan Cyril, 49, serta empat cucu.

Cucu sulungnya, Inaki Hew, 17, yang menemani Siew San ketika acara pembukaan Lat the Musical pada 2011, berkata beliau sentiasa tahu bahawa neneknya adalah inspirasi untuk watak dalam komik.


Datuk Lat, Mrs Hew, Lee Siew San

Artikel Lain