suria

Rakyat Thailand Antara Dua Maut Kemalangan Di Plus Arah Utara

TAPAH: Dua termasuk seorang lelaki warganegara Thailand maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 354 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara sebelum Hentian Sebelah Ladang Bikam, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 9.47 malam itu, seorang daripada mangsa yang maut dikenali sebagai Huen Chee Hon, 30, manakala identiti lelaki warga Thailand itu belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mangsa gagal mengelak daripada melanggar bahagian belakang sebuah lori yang tiba-tiba bertukar arah ke lorong kanan.

"Kereta itu dipercayai berpusing beberapa kali menyebabkan kedua-dua mangsa yang masing-masing duduk di kerusi penumpang hadapan dan belakang dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke cermin hadapan.

"Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan muka," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Som Sak berkata mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Pemandu Velfire, Lim Wai Siong, 33, hanya mengalami kecederaan ringan sementara pemandu lori Mohd Rosli Abd Halim, 53, tidak cedera, katanya.

Artikel Lain