suria

Malaysia, Indonesia Setuju Bangunkan Ekonomi Di Sempadan

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia sedang mengorak langkah bersama untuk memajukan kawasan sempadan darat antara kedua-dua negara dengan projek pembangunan ekonomi.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata Malaysia telah menyatakan minat untuk memajukan kawasan sempadan dengan projek pertanian dan beberapa industri lain sebagai usaha memakmurkan ekonomi di kawasan sempadan.

Katanya kedutaaan Malaysia telah mengadakan perbincangan awal dengan Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Republik Indonesia bagi merealisasikan cadangan itu, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bersama tidak lama lagi.

"Jawatankuasa bertindak ini akan mengadakan perbincangan secara terperinci mengenai teknikal dan kaedah usaha sama yang boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Republik Indonesia, Eko Putro Sandjojo di sini Jumaat.

Beliau berkata perbatasan darat antara Malaysia dan Indonesia melibatkan kawasan 2,000 kilometer, dengan 40 peratus dari tanah sempadan itu membabitkan  kawasan berbukit.

Malaysia adalah pelabur asing terbesar di Indonesia, dan kerajaan telah menyasarkan nilai pelaburan sebanyak US$25 bilion (kira-kira RM112 bilion) menjelang 2020.

Terdahulu, Eko Putro berkata kerajaan Indonesia menghargai minat Malaysia untuk memajukan kawasan di wilayah sempadan antara kedua negara dengan projek pertanian kerana ia secara tidak langsung akan memajukan kawasan luar bandar di daerah berkenaan.

Katanya antara bidang pelaburan yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia di kawasan sempadan itu ialah projek bekalan elektrik, arang batu dan pertanian. - BERNAMA

Malaysia, Indonesia

Artikel Lain