suria

Kompleks Mahkamah Sepang Jadi Tumpuan Tunggu Kes Jong-nam

Kompleks Mahkamah Sepang menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa apabila pertuduhan terhadap dua suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam akan dilakukan pada Rabu. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

SEPANG: Kompleks Mahkamah Sepang di sini menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa apabila pertuduhan terhadap dua suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam akan dilakukan pada Rabu.

Pihak media tiba seawal 5 pagi untuk beratur di luar kompleks mahkamah itu dalam usaha untuk mendapatkan peluang mengikuti prosiding pendakwaan itu.

Pintu pagar kompleks mahkamah ditutup dan dikawal ketat oleh pihak polis. 

Hanya kenderaan kakitangan di mahkamah berkenaan dibenarkan masuk.

Kaunter pendaftaran untuk media dan peguam diletakkan di bawah kanopi di sebelah pintu pagar kompleks mahkamah berkenaan.

Orang awam yang menggunakan laluan di hadapan kompleks berkenaan memperlahankan kenderaan masing-masing kerana kehairanan melihat ramai yang beratur di luar kompleks mahkamah itu sejak awal pagi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa berkata, dua wanita asing akan dihadapkan di mahkamah pada Rabu bagi menghadapi tuduhan.

Warga Vietnam dan Indonesia itu ditahan reman selama 14 hari mulai 16 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam, yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Polis mengesahkan mangsa dibunuh dengan racun Agen Saraf VX. 

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. - Bernama

Kim Jong-nam

Artikel Berikut

Artikel Lain