suria

SPRM Digesa Siasat Tujuh Syarikat Terima Projek Air Sabah RM2.44 Bilion

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan penyelewengan projek penyelenggaraan air di negeri itu bernilai RM2.44 bilion susulan skandal air Sabah yang berjaya dibongkar SPRM sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Junz Wong mendakwa, ia melibatkan enam projek yang mula diberikan sejak 2011 kepada tujuh syarikat konsesi, terdiri daripada empat kontraktor utama dan tiga sub-kontraktor.

"Kesemua syarikat ini dengan enam projek yang mana setiap projek bernilai RM122 juta setahun, yang dipercayai diberikan kontrak bagi tempoh 20 tahun, atau bersamaan dengan RM2.44 bilion untuk keseluruhan.

"Sebagai wakil rakyat Sabah, perkara ini amat membimbangkan ditambah pula tiada bekalan air Sabah yang berkualiti. Dengan skandal air Sabah, kerajaan negeri perlu lebih bertanggungjawab dan telus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, Rabu.

Wong hadir bersama peguamnya, Jakaria Abd Jalil dan Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman.

Wong turut mendakwa, secara kebetulan, ahli lembaga pengarah dan pemilik saham daripada sebahagian besar tujuh syarikat itu mempunyai nama keluarga 'Teo'.

"Ada banyak nama 'Teo' dan ada juga yang bukan nama 'Teo' di alamat sama tetapi tidak pasti sama ada mereka mempunyai pertalian.

"Jika bukan 'Teo' pun kita minta SPRM untuk membuat siasatan terhadap perkara ini kerana ia melibatkan wang rakyat, khususnya berkaitan dengan isu kualiti bekalan air di Sabah," katanya.

Sementara itu, Jakaria berkata, beberapa dokumen berkaitan dengan syarikat-syarikat terbabit telah dikemukakan kepada SPRM.

"Antara fakta-fakta menarik perhatian kami adalah syarikat-syarikat ini ada yang baru berumur dua dan tiga tahun, tetapi dilantik terus sebagai kontraktor utama dan sub-kontraktor untuk menjalankan projek berjuta-juta ringgit.

"Ini menimbulkan persepsi yang perlu disiasat lebih lanjut. SPRM perlu meneliti dari segi latar belakang kewangan syarikat berkaitan dengan pengarah-pengarah syarikat," katanya.

SPRM, Air Sabah, DAP

Artikel Lain