suria

Penganggur Ditahan Miliki Heroin, Syabu

SEREMBAN: Polis menahan seorang penganggur dan merampas dadah jenis heroin dan syabu seberat 23.59 gram bernilai kira-kira RM2,000.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah stor di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh dekat sini dalam serbuan Isnin lepas.

"Polis telah membuat serbuan di sebuah stor di hadapan sebuah rumah diFelda Bukit Rokan Utara Gemencheh dan telah menjumpai satu bekas plastik lutsinar berwarna merah jambu yang terletak di atas lantai di hadapan lelaki tersebut.

"Hasil pemeriksaan di dalam bekas plastik itu menjumpai sembilan peket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis heroin seberat 23.38 gram dan sepeket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 0.21 gram," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Hamazah berkata ujian saringan awal polis juga mendapati suspek yang berasal dari Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh itu, positif morfin.

"Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 15(1)(a) akta yang sama.

Katanya, pihak polis kini sedang giat membanteras kegiatan salah guna dadah berikutan ia memberi kesan negatif kepada banyak pihak.

"Bila ada penagih dadah, mereka ini kebanyakannya tidak bekerja dan ini mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti mencuri dan menyamun bahkan boleh membunuh.

"Ketika ini, banyak juga kes getah dan kelapa sawit hilang kerana dicuri disebabkan harga ketika ini mahal, ia menjejaskan pendapatan harian kepada pengusaha," katanya. - BERNAMA

penganggur, heroin, syabu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain