suria

SPRM Tahan Enam Individu Terlibat Rasuah Hartanah Negeri Johor

PETALING JAYA: Enam individu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan media berkata enam suspek berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru, Jumaat.

"Mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

"Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di negeri Johor," katanya, dalam kenyataan media, Sabtu.

Sebahagian daripada kereta mewah yang dirampas.

Katanya, penahanan itu dibuat ketika satu operasi serentak yang dilancarkan pada Jumaat, kira-kira jam 8.30 pagi.

"Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan negeri Johor," katanya.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut merampas 21 buah kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.



Katanya, SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Johor.

"Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan.

"SPRM akan memanggil beberapa orang lagi saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini," katanya.

Sementara itu, penolong pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

rasuah, hartanah Johor, SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain