suria

Tujuh Remaja Berbasikal Ditahan Di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Tujuh remaja ditahan dekat Dataran Bandaraya di sini, Sabtu, di mana satu perhimpunan dirancang bagi menunjukkan bantahan terhadap seorang pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh remaja, 18 Februari lalu.

Protes itu, yang dirancang bagi menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap pemandu wanita berkenaan bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Tujuh remaja lelaki sebelum itu dilihat menunggang basikal mereka berhampiran Dataran Bandaraya. Tiada pelumba lain selain daripada mereka di sana.

Mereka ditahan oleh polis trafik berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Kolam Ayer kira-kira jam 10 pagi.

Polis turut merampas tujuh buah basikal yang telah diubah suai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kumpulan remaja lelaki tersebut ditahan untuk soal siasat.

Beliau berkata, maklumat lanjut akan diberikan kemudian.

Difahamkan, ibu bapa mereka akan dipanggil untuk berbincang dengan pihak polis.

Pada 22 Februari, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai telah menjemput orang awam untuk berkumpul di Dataran Bandaraya pada pukul 8 pagi sebagai tanda bantahan terhadap pemandu tersebut.

Polis mengeluarkan amaran keras akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat sama ada dalam penganjuran mahupun menyertainya.

Pada awal pagi 18 Februari lepas, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini.

Artikel Lain