suria

Gumpalan Tanah Liat Marin Di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN: Pantai Tanjung Bungah telah dicemari gumpalan tanah liat marin kelabu, sekali gus menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk setempat yang bimbang proses penambakan di sepanjang pantai utara Pulau Pinang itu akan menjejaskan kawasan tersebut.

Rakaman video tanah liat itu yang pada mulanya dianggap sebagai batu-batu pelik menjadi tular di media sosial.

Tiga video yang diambil seorang pelancong asing telah dikongsi dalam blog aktivis sosial Anil Netto.

Dalam video itu, pengunjung turut menyatakan rasa bimbang mengenai fenomena tersebut dan tertanya-tanya jika ia adalah merupakan ketulan simen.

Tinjauan The Star semasa air surut pada Khamis mengesahkan adanya gumpalan tanah liat di sepanjang kawasan pantai.

Daripada saiz sebesar batu-bata sehinggalah batu-batu kecil, gumpalan itu mudah pecah dan mempunyai tekstur sama dengan tanah liat.

Ia tidak mempunyai bau dan hanya boleh didapati di sepanjang jarak 100 meter pantai tersebut.

Dalam blognya, Anil berkata gumpalan itu boleh jadi tanah liat marin yang ditemui di bahagian dasar laut.

"Ia mungkin terkeluar apabila pasir di dasar laut disedut atau sesuatu yang lain memaksanya untuk keluar dan mengganggunya," tulis Anil.

Dia percaya tanah liat marin itu terjadi kesan penambakan tanah yang berlaku secara besar-besaran sejak 1990.

Mengesahkan ia adalah tanah liat marin, pakar geologi, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata gumpalan tersebut boleh mengandungi pasir dan batu-batu kecil.

Dr Ibrahim berkata serpihan tanah liat itu adalah dari lapisan sedimen tanah liat marin yang berada di dasar laut pada kedalaman lima hingga 10 meter, tidak jauh dari kebanyakan kawasan pinggir laut.

"Ia mungkin terganggu akibat kesan ombak kuat atau dipaksa keluar menerusi kegiatan manusia.

"Namun ia tidak berbahaya kepada hidupan laut kerana ia merupakan sebahagian daripada alam semula jadi," katanya.


Artikel Lain