suria

Khidmat Kerusi Roda Bantu Lancar Ibadat Umrah Insan Istimewa

ASSALAMUALAIKUM. Rukun umrah wajib disempurnakan sejurus tiba di Makkah. Begitu juga dengan semua insan istimewa yang berusia dari 18 hingga 47 tahun yang dibawa bersama.

Mereka perlu menyelesaikannya mengikut tertib dan sudah menjadi tanggungjawab setiap pengiring serta ahli keluarga untuk memastikan golongan itu tidak melanggar pantang larang.

Semua jemaah berkumpul di lobi hotel setelah menikmati hidangan makan malam dan membersihkan diri di dalam bilik penginapan masing-masing. Kami berkumpul beberapa ketika sebelum semua mengatur langkah untuk ke Masjidil Haram.

Anak istimewa yang menggunakan khidmat kerusi roda pada malam itu ialah Along, Khuzairy, Atikah dan Azizah manakala warga emas yang memerlukan khidmat itu ialah makcik Sumah serta Khairuddin.

Mereka ditolak oleh mutawif yang dilantik oleh agensi pengendali umrah. Mereka ditolak dari hotel, ketika tawaf, saie dan pulang semula ke hotel dengan bayaran SR350 seorang. Bagaimanapun, jemaah yang ditolak itu boleh diiringi seorang atau dua waris.

Saya mengiringi Along yang tidak ditemani ibu bapanya manakala Khuzairy diiringi Mohd Zaini dan Atikah serta Azizah diiringi ibu mereka. Haji Omar dan Zuraini (kedua-duanya pengiring) bersama-sama Rozidi serta Muhaimin manakala Mior Azib dengan keluarganya.

Kami berjalan bersama-sama ke perkarangan Masjidil Haram tetapi terbahagi kepada dua kumpulan iaitu jemaah tanpa kerusi roda dan jemaah dengan kerusi roda. Jemaah tanpa kerusi roda tawaf di perkarangan Kaabah manakala jemaah dengan kerusi roda perlu ditolak di paras atas.

Khuzairy yang ditolak oleh seorang mutawifah tiba-tiba hilang daripada pandangan. Wanita itu terlalu pantas berjalan meninggalkan kami sehingga gagal dikesan.

“Mana pergi wanita yang menolak seorang lagi anak istimewa kami?” tanya saya kepada mutawif yang menolak Along.

“Entah, saya tidak tahu ibu. Dia begitu cepat sekali,” balas pemuda itu.

“Mana boleh begitu. Mestilah berkumpulan sebab yang ditolak itu anak istimewa. Kamu hubungi dia sekarang dan tanya di mana,” maklum saya.

Mutawif itu lantas menghubungi wanita berkenaan tetapi mutawifah itu di tempat lain di dalam masjid dan tidak dapat dikesan. Kami meneruskan perjalanan di dalam masjid dan akhirnya kami berada di dataran Kaabah.

“Bolehkah kita tawaf di sini, tidak menganggu orang lain ke?” tanya saya pada mutawif itu.

“Tidak apa-apa ibu. Insha Allah, tambahan pula orang tidak begitu ramai,” balas mutawif itu.

“Kamu hubungi wanita tadi yang membawa Khuzairy minta dia pastikan anak itu masih ada wuduk untuk tawaf,” pesan saya.

Beliau menghubungi mutawifah itu dan selepas itu memaklumkan kepada saya bahawa mereka bertawaf di paras atas. Begitu juga dengan Atikah, Azizah dan Khairuddin.

“Rezeki kitalah,” ujar saya sambil memandang pada Mohd Zaini.

“Tadi awak hendak tawaf di dataran Kaabah. Doa awak makbul?” ujar saya lagi.

Beliau sekadar mengangguk.

“Along ada wuduk lagi tak?” tanya saya pada Along yang bersandar pada kerusi roda.

“Ada…” balas Along sambil mengangguk.

“Tawaf mesti ada wuduk tau. Along kena cakap kalau tak ada wuduk lagi,” pesan saya.

Beliau mengangguk lagi. Dia kelihatan mengantuk.

Sejurus itu, mutawif mengajar Along membaca niat tawaf sebelum kami mula bertawaf. Kami ternampak juga ahli rombongan kami yang lain bertawaf. Sesekali terdengar suara mutawif menasihatkan Along agar tidak tidur.

Alhamdulillah, selesai tujuh pusingan di Baitullah, kami memulakan saie. Jemaah umrah cukup ramai ketika itu. Biar malam semakin larut, jemaah tetap memenuhi kawasan saie untuk menyempurnakan rukun umrah.

Setelah lengkap perjalanan tujuh kali di antara Safa dan Marwah, saya bertahlul manakala mutawif, Along dan Mohd Zaini menunggu saya di suatu sudut di Marwah. Mereka lebih dulu selesai saie kerana berlari-lari anak di lampu hijau sedangkan saya berjalan seperti biasa.

Setelah itu, kami berjalan pulang keluar dari Masjidil Haram untuk menuju hotel penginapan. Di depan perkarangan masjid, kami bertemu dengan Khuzairy dan mutawifah yang begitu pantas membawanya bertawaf dan hilang daripada pandangan.

Kami tiba di Hotel Mira Ajyad pada jam 2.30 pagi. Kedai gunting rambut yang terletak di tingkat satu masih terang dan Mohd Zaini terus duduk di atas kerusi untuk dicukur oleh tukang gunting rambut.

Melihatkan rambut Mohd Zaini mula dicukur, Along bersemangat untuk mengikuti langkah yang sama.

“Along nak botak ke? tanya saya.

“Nak…” balas Along.

“Khuzairy macam mana?” tanya saya lagi.

Khuzairy dari Pemulihan Dalam Komuniti Titiwangsa dan bermasalah pembelajaran serta tidak banyak bercakap sekadar mengangguk tanda setuju.

Saya menunggu mereka seketika. Setelah selesai, kami naik semula ke bilik penginapan di paras 20 Hotel Mira Ajyad, yang terletak kira-kira 250 meter dari perkarangan Masjidil Haram. Tiba di paras 20, suasana begitu sepi. Tidak kelihatan lagi jemaah rombongan kami yang lain. Besar kemungkinan mereka belum selesai rukun umrah, bisik hati kecil saya.

Kami beristirahat dan tidur seketika sementara menunggu waktu Subuh yang berkumandang pada jam 5.40 pagi. Oleh sebab keletihan dan kelewatan, saya tidak dapat solat berjemaah di masjid dan hanya bersolat di dalam bilik penginapan.

Begitulah lazimnya setelah selesai menyempurnakan rukun umrah. Bukan saya seorang. Hampir sebahagian besar jemaah begitu juga kecuali jika kita menunggu Subuh di dalam masjid setelah selesai rukun umrah.

Setelah solat dan membersihkan diri, saya turun ke dewan makan. Muhaimin, Khuzairy, Along, Rozidi dan Mohd Zaini sedang menikmati sarapan. Saya mendekati mereka dan bertanya khabar seketika sebelum mengambil makanan yang dihidang di meja bufet.

Tidak lama selepas itu muncul Azizah ditemani ibu bapanya diikuti Atikah bersama-sama ibunya, Fauziah. Alhamdulillah, kedua-duanya tidak meragam ketika menyelesaikan umrah namun semua tampak letih tambahan pula bagi yang kali pertama menunaikan ibadat umrah.

Tawaf tidaklah begitu memenatkan tetapi saie begitu mencabar kerana boleh menjadikan sesiapa sahaja mudah letih walaupun masih muda.

Selesai bersarapan, kami membawa haluan masing-masing dan tentu sekali semua kembali ke dalam bilik penginapan untuk menyambung tidur kerana mahu menghilangkan penat lelah setelah melalui perjalanan dari Madinah ke Makkah dan seterusnya menyempurnakan ibadat umrah.

Semua insan istimewa tidak menimbulkan masalah ketika menyempurnakan rukun umrah. Khidmat kerusi roda membantu melancarkan lagi ibadat umrah golongan itu. Ada yang bertanya mengapa khidmat kerusi roda diperlukan kerana insan istimewa seperti Along, Khuzairy, Atikah dan Azizah mampu berjalan namun hakikatnya mereka mudah penat terutama ketika saie.

Malah, ada antara mereka yang mudah meragam dan meradang setelah tubuh kepenatan. Pada dasarnya kita lihat mereka mampu melaksanakannya kerana boleh berjalan tetapi hakikatnya mereka akan menjadi cepat letih dan mengundang masalah lain.

Hanya Muhaimin, Rozidi dan Mior Azib tidak memerlukan khidmat kerusi roda. Alhamdulillah mereka mampu menyempurnakannya.

Tidak lengkap perjalanan umrah tanpa menziarahi lokasi bersejarah di sekitar kota Makkah. Ikuti catatan saya seterusnya minggu depan, insyaAllah.


Hotel Mira Ajyad, Sumah

Artikel Berikut

Artikel Lain