suria

Bakteria Mungkin Punca Kematian Seorang Lelaki Di Tanah Merah

Gambar fail Reuters.

KOTA BARU: Sampel bakteria yang diambil daripada seorang lelaki berusia 59 tahun dari Tanah Merah, Kelantan telah dihantar untuk ujian di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Lelaki tersebut telah meninggal dunia secara misteri pada Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pihaknya percaya bahawa sejenis bakteria udara (Klebsiella pneumoniae) kemungkinan  punca kematian lelaki tersebut.

Kira-kira 40 ahli keluarga dan saudara-mara mangsa telah dikuarantin di Hospital Tanah Merah sebagai langkah berjaga-jaga.

Manakala dua puluh tiga daripada mereka telah dibenarkan pulang ke rumah dan dinasihatkan supaya menjauhi aktiviti sosial dan menjaga kebersihan diri.

Dr Ahmad Razin berkata butiran telah diberikan kepada pihak berkuasa di Selangor dan Kuala Lumpur selepas beberapa daripada saudara-mara mangsa dari kedua-dua negeri menemui lelaki tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa meninggal dunia akibat radang paru-paru yang teruk.

"Dua yang lain telah dimasukkan ke Hospital Tanah Merah, seorang daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan untuk terus hidup," kata Dr Ahmad Razin.

Beliau berkata, seramai 37 orang telah berhubung dengan mangsa adalah dari Kelantan sebanyak dua puluh tiga orang, dua belas dari Selangor dan dua orang dari Kuala Lumpur. 

Setakat ini, sebelas orang daripada mereka mengalami batuk dan demam.

"Kami telah menyerahkan butiran mereka kepada pihak hospital di Selangor dan Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya," jelas Dr Ahmad Razin kepada pemberita pada Khamis.

Dr Ahmad Razin berkata sampel bakteria telah dihantar ke pusat ujian bagi penyakit-penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, mangsa bersama serombongan ahli keluarga dari Tanah Merah pergi ke Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu.

"Mangsa meminta bantuan perubatan di Hospital Tanah Merah pada 4 Februari setelah mengadu sesak nafas.

"Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan meninggal dunia pada hari berikutnya.

"Mangsa kedua, seorang lelaki berusia 28 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur datang ke Tanah Merah pada 6 Februari untuk melawat mangsa.

"Dia telah dimasukkan Hospital Tanah Merah dua hari kemudian dan didiagnosis sebagai pneumonia teruk,"kata Dr Ahmad Razin.

Beliau berkata kes itu "bukan tahap wabak" tetapi mereka yang mempunyai batuk, kesukaran bernafas dan demam perlu mendapatkan rawatan segera.

Bakteria Udara, meninggal dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain