suria

Thaipusam: TMJ Santap Bersama Masyarakat India

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis sambutan perayaan Thaipusam peringkat negeri Johor 2017 di Kuil Sri Subramaniar Paribalana Saba, Masai, di sini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, isteri baginda, Che' Puan Khaleeda Bustamam dan anakanda puteri, Tunku Kalsom Aminah Sofiah. 

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R. Vidyananthan dan Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Paribalana Saba, M. Elan Ko.

Keluarga diraja itu tiba pada kira-kira 12.30 tengah hari dengan disambut meriah oleh kira-kira 15,000 penganut Hindu yang hadir.

Keluarga diraja kemudian berkenan meluangkan masa kira-kira sejam menyertai majlis santapan tengah hari yang diiringi persembahan kebudayaan.Pada majlis tersebut Tunku Ismail turut menyaksikan penyerahan replika cek RM150,000 untuk Tabung Amanah Kuil Sri Subramaniar Paribalana Saba kepada Elan Ko.

Sementara itu, Vidyanathan dalam ucapannya berkata kehadiran keluarga diraja itu cukup bermakna bagi sambutan Thaipusam tahun ini sekali gus menunjukkan semangat Bangsa Johor.

Beliau berkata ia merupakan kali kedua sambutan berkenaan diserikan dengan kehadiran kerabat diraja selepas kehadiran Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada sambutan Thaipusam dan bersantap tengah hari di Kuil Hindu Samajam Sri Murugan, Renggam, tahun lepas.

Mengenai pengwujudan tabung amanah kuil berkenaan, beliau berkata ia merupakan inisiatif Elan Ko bersama keluarga dan beberapa rakan sebagai usaha membantu kebajikan, pendidikan serta kesihatan mereka yang memerlukan.

Kuil Sri Subramaniar Paribalana Saba dibina pada 1968.-- Bernama



Thaipusam, TMJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain