suria

Bot Karam: Anggota SAR Temui Satu Jaket Keselamatan

KOTA KINABALU: Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa bot karam yang masih hilang di Sabah, menemui satu jaket keselamatan di kawasan perairan Semarang dalam operasi yang masuk hari ke-13 pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata objek itu dikesan oleh Kapal Kilat 40, kira-kira pukul 10 pagi di enam batu nautika timur Labuandan 46 batu nautika barat daya dari perairan Pulau Mengalum. 

Bagaimanapun, katanya jaket keselamatan berkenaan tiada kaitan dengan insiden bot jenis katamaran membawa 31 individu termasuk 28 pelancong warga China yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum 28 Januari lepas.

"Jaket itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan bot karam itu oleh syarikat pelancongan yang terlibat dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata berikutan penemuan itu, setakat ini anggota SAR telah menemuilima jaket keselamatan sejak operasi itu dilaksanakan dan kesemuanya telah disahkan tidak mempunyai kaitan dengan insiden itu.

SAR yang diteruskan hari ini menumpukan kawasan seluas 350 batu nautika persegi di perairan Kota Kinabalu melibatkan 300 anggota dengan 11 aset, masing-masing 10 kapal dan bot serta satu pesawat.

Dalam tragedi itu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa ditemui termasuk empat yang maut. -Bernama

Bot karam, SAR, jaket keselamatan

Artikel Lain