suria

Dua Beranak Didakwa Bunuh Pekerja Restoran

KUALA LUMPUR: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa, atas pertuduhan membunuh seorang pekerja restoran warga Myanmar, bulan lalu.

V. Vijaya Kumar, 57, dan anaknya V. Anandan, 34, didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas telah berhimpun dengan niat membunuh Mohd Ayob Mohd Hatim di hadapan pasar raya MyMydin Kondo Amara, Jalan Kennison, Gombak, di sini, pada 3.30 petang, 19 Januari lalu.

Menurut laporan Bernama, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Mac untuk sebutan semula kes.

Bunuh

Artikel Lain