suria

Kumpulan Tarian Singa Kesal Dipolitikkan

Yong Kheng Chien.

KUALA LUMPUR: Kumpulan tarian singa kesal berhubung klip video yang diedit menunjukkan "singanya" enggan beraksi di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran parti Gerakan.

Pengasas Persatuan Olahraga Tarian Naga dan Singa Gai Feng Malaysia, Yong Kheng Chien berkata, 15 anggota kumpulan itu berasa teraniaya apabila menjadi sasaran "ahli politik" dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan imej mereka.

"Ia amat mencemarkan imej persatuan kerana kami merupakan penari tarian singa profesional.

"Saya menyeru kepada semua supaya tidak membabitkan kami dengan politik," katanya pada sidang media di Wisma PGRM di sini, Khamis.

Kheng Chien berkata, beliau terpanggil bagi memberi penjelasan berhubung video baru-baru ini yang menjadi tular dan dipetik segelintir penulis blog.

"Kami kesal dengan dakwaan bahawa kumpulan tarian singa kami enggan beraksi termasuk penggunaan ungkapan 'malah singa cukup berani mengadakan protes terhadap Perdana Menteri," katanya.

"Penari tarian singa itu sebenarnya sedang mengupas limau bali dan beberapa biji limau semasa persembahan mereka, yang mengambil masa kurang dari dua minit," katanya.

Sebuah klip video berdurasi 45 saat yang tersebar luas di media sosial menunjukkan penari tarian singa itu berlutut dan tidak bergerak untuk beberapa saat, ketika persembahan itu ditonton oleh Najib dan isterinya, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan orang kenamaan lain semasa rumah terbuka yang diadakan di Menara PGRM pada Sabtu lalu.

Yong Kheng Chien, tarian singa

Artikel Lain