suria

Taman Tasik Titiwangsa Dibuka Sementara Sehingga Jun

KUALA LUMPUR: Warga kota masih berpeluang mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa di sini kerana penutupannya bagi pelaksanaan projek 'River of Life' (RoL) ditangguhkan buat sementara.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khalid Zakaria berkata penangguhan itu susulan wujud beberapa perubahan teknikal dan projek itu dijangka bermula Jun tahun ini hingga akhir 2019.

"Orang awam masih dibenarkan melakukan beberapa aktiviti asas seperti berlari (jogging), bersiar-siar dan riadah.

"Namun aktiviti penyewaan basikal, kasut beroda, 'tubester' dan sebagainya adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis seperti dilaporkan Bernama.

Khalid berkata perkhidmatan kemudahan tandas dan surau juga dibuka semula manakala perniagaan di kios taman dibuka sementara waktu sehingga projek RoL bermula.

DBKL sebelum ini mengumumkan taman rekreasi popular di ibu negara itu ditutup kepada orang ramai bermula Januari tahun ini hingga Disember 2018 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek RoL melibatkan keseluruhan lokasi itu.

Taman Tasik Titiwangsa, DBKL

Artikel Sebelum

Artikel Lain