suria

Terima Kasih Krew Misi Pencarian MH370 - Menteri

Tiong Lai (kiri) dan Chester berbincang sesuatu ketika melawat kapal Fugro Equator yang terlibat dalam misi pencarian pesawat MH370 - REUTERS

SYDNEY: Menteri Pengangkutan Malaysia dan Australia menzahirkan rasa terima kasih kepada krew kapal Fugro Equator yang terlibat dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak tiga tahun lalu.

Susulan penggantungan misi pencarian di dasar lalu seperti yang diumumkan pada minggu lalu, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan rakan sejawatnya, Darren Chester mengadakan pertemuan dengan anak kapal terbabit di Australia Barat.

Chester berkata, walaupun bangkai pesawat itu tidak ditemukan dalam zon pencarian seluas 120,000 kilometer persegi, tetapi amat penting untuk menghargai krew kapal berkenaan atas penat lelah mereka dalam tempoh lebih tiga tahun lalu menyertai misi berkenaan.

"Misi ini merupakan usaha yang luar biasa dilaksanakan di kawasan laut terpencil di bumi," kata Chester seperti dilaporkan agensi berita Xinhua.

Menurut beliau, sumbangan yang disalurkan krew itu tidak sama seperti kapal dan peralatan yang digunakan dalam misi itu.

"Seperti saya katakan sebelum ini, pencarian pesawat MH370 bukan sahaja melibatkan kepakaran saintifik dan teknologi, tetapi usaha besar manusia.

"Pesawat itu tidak ditemukan bukan sebagai tanda kegagalan tetapi menunjukkan bahawa kapal terbang berkenaan tidak berada di lokasi pencarian seluas 120,000 kilometer persegi," katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, kerajaan Malaysia amat berterima kasih dengan usaha keras yang ditunjukkan oleh krew kapal tersebut.

Jelasnya, sikap profesional, komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh anak kapal berkenaan amat disanjungi.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada krew kapal, kerajaan Australia dan China kerana sokongan mereka dalam misi pencarian MH370.

"Kami berasa sedih kerana tidak dapat mengesan pesawat itu. Krew kapal ada memaklumkan kami tentang cabaran yang dihadapi di perairan laut dalam.

"Kadang-kala mereka terpaksa mengharungi ombak selama empat hari berturut-turut atau angin kuat yang bertiup selaju 140 kilometer sejam tetapi mereka tetap berada di sana untuk berdepan cabaran tersebut," katanya.

Liow Tiong Lai, Darren Chester, MH370

Artikel Lain