suria

Pertubuhan Beri Amaran Keras Pihak Salah Guna Nama Sultan Kelantan

Sultan Muhammad V.

KOTA BHARU: Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi memberi amaran keras kepada semua pihak agar menghentikan segera tindakan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan pertubuhan itu untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Yang Dipertuanya Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim berkata pemalsuan kad menggunakan nama dan lambang diraja dikesan sejak 2012 namun semakin berleluasa selepas pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 baru-baru ini.

Beliau berkata perbuatan itu mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong dan pertubuhan berkenaan.

"Perkara ini telah menimbulkan murka Yang di-Pertuan Agong dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab ini," kata Tengku Laksamana Kelantan pada sidang akhbar di Istana Balai Besar, di sini Ahad.

Hadir sama Setiausaha pertubuhan itu Tengku Kaya Perkasa Datuk Tengku Mohd Faziharudean Tengku Feissal dan Bendahari persatuan Datuk Tengku Ibrahim Tengku Feissal.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada maklumat yang diterima pertubuhan itu, kegiatan tersebut aktif dilakukan oleh satu rangkaian didalangi penduduk tempatan dan mungkin juga membabitkan anggota pertubuhan kerabat.

"Mereka menggunakan kad tersebut di seluruh negara dengan menipu orang di luar sana sama ada secara mengutip dana atau menawarkan pangkat datuk dan keistimewaan daripada kerabat diraja Kelantan dengan mengenakan bayaran sehingga RM200,000," katanya.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat pada 10 Jan lepas berhubung perkara tersebut dan beberapa suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama beliau menegaskan Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi tidak pernah mengeluarkan sebarang kad keahlian kepada mana-mana individu termasuk anggota pertubuhan itu sendiri.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan muslihat pihak berkenaan dan membuat laporan polis jika menyedari telah menjadi mangsa penipuan mereka. - Bernama


Artikel Lain