suria

Mampu Berjaya Walau Tidak Sempurna

Pong menunjukkan pes kari Nyonya dan sos pencicah halia ketika majlis pelancaran produknya itu di Sarang Paloh, Ipoh.

IPOH: Kedua-dua kaki Jenny Pong terpaksa dipotong, namun wanita ini tidak pernah membiarkan kekurangan diri menghalang cita-cita besarnya.

Pong, 51, menyimpan hasrat agar pes kari Nyonya yang dihasilkannya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau telah bergantung kepada adik beradiknya selama beberapa tahun sebelum ini, tetapi kini beliau mampu berdikari dari segi kewangan.

Buat masa ini, beliau berazam untuk menyiapkan lebih banyak tempahan bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Saya hanya boleh buat kira-kira 100 paket pes setiap hari.

"Tetapi menjelang perayaan, saya akan cuba untuk menghasilkan lebih banyak pes," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran produk terbaharu beliau, sambal belacan dan sos pencicah halia di Sarang Paloh di sini, Isnin.

Sejak memulakan perniagaan pada September tahun lepas, kira-kira 1,000 paket pes kari telah berjaya dijual.

Pong pertama kali hilang deria rasa di bawah badannya ketika berusia 18 tahun selepas melahirkan bayi kembarnya. Bagaimanapun cahaya matanya itu meninggal dunia.

Beberapa hari selepas pulang, beliau berasa lemah dan disahkan menghidap jangkitan virus selepas bersalin. Beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi, di mana beliau koma selama dua tahun.

Apabila sedar daripada koma, beliau bukan sahaja mendapat tahu suaminya telah meninggalkannya, tetapi juga kakinya mengalami gangren, menyebabkan beliau memutuskan untuk memotong kedua-dua kakinya itu.

Pong berkata beliau pernah merangkak di sekitar rumahnya sebelum mendapat kerusi roda.

Beliau memasak pes kari dengan cara meniarap di atas troli kayu yang digunakannya untuk bergerak.

Pong berkata beliau mula belajar memasak sejak zaman kanak-kanak apabila ibu bapanya sibuk bekerja.

"Saya mempunyai kelebihan untuk belajar memasak dengan cepat selepas merasa sesuatu makanan," kata beliau, sambil menambah produknya diperbuat daripada bahan-bahan segar dan tidak mengandungi MSG.

Pong berkata berdikari adalah satu-satunya jalan untuk maju ke hadapan kerana sumbangan orang ramai tidak membantu untuk jangka masa panjang.

"Berapa kali saya boleh minta derma? Bukankah lebih baik saya buat sesuatu untuk diri saya sendiri," katanya.

Mesej beliau kepada  mereka yang senasib dengannya: "Jika saya boleh melakukannya, orang lain juga mampu."
pes kari, usahawan OKU, Jenny Pong

Artikel Berikut

Artikel Lain