suria

RRC Singapura: Rakyat Malaysia Lebih Terbeban

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang memandu masuk ke Singapura setiap hari perlu berdepan dengan satu lagi caj tambahan iaitu Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC).

Republik itu mendakwa bahawa ia adalah timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.

Walaupun kadar RRC hanyalah S$ 6.40 (RM20), rakyat Malaysia yang mahu memasuki bandaraya itu perlu juga membayar dua caj lain iaitu tol dan Permit Masuk Kenderaan (VEP).

Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah di seberang sempadan sangat kecewa dan bimbang jika pengendali van sekolah mungkin menggunakan RRC sebagai alasan untuk menaikkan tambang yang sudah tinggi.

Ivy Teh, 48, yang dua anaknya belajar di sekolah rendah di Singapura berkata tambangnya telah meningkat ke RM750 untuk seorang kanak-kanak, berbanding RM350 enam tahun lalu.

Jumlah itu, katanya, semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat kenaikan bahan api. Kini, beliau bimbang jika RCC akan menyebabkan kadar tambang naik sekali lagi.

"Saya telah mencadangkan kepada pengendali van untuk memberikan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bagi melihat jika RRC S$6.40 itu benar-benar meninggalkan sebarang kesan kepada perniagaannya sebelum mengenakan satu lagi kenaikan harga," katanya dalam temu bual di sini, Isnin.

Suri rumah Choong Swee Lan, 50, berkata, jika tambang dinaikkan lagi, beliau akan menanggung beban yang lebih besar kerana beliau kini membayar RM1,400 hanya untuk menghantar dua anaknya ke sekolah di seberang tambak.

"Kami telah membayar begitu banyak wang dalam memberikan pendidikan yang lebih berkualiti kepada anak-anak.

"Dengan sekolah di Singapura membuat semakan semula yuran sebanyak 10 peratus setiap tahun dan kos sara hidup yang tinggi di sini, kami mungkin berhenti menghantar anak-anak belajar di sana," katanya.



Seorang lagi pengguna jalan raya, yang hanya ingin dikenali sebagai Jack, 36, berkata, keputusan ini sukar untuk dirinya yang kerap memandu ke Singapura bagi menemui rakan perniagaan yang mengendalikan sebuah bengkel di Jurong.

"Masanya tidak betul kerana negara sedang mengalami kelembapan ekonomi yang sudah membebankan rakyat.

"Saya tidak mempunyai pilihan selain memandu kerana sukar untuk saya pergi ke mesyuarat tepat pada masanya jika saya menaiki pengangkutan awam," katanya.

Kontraktor, Idzwan Idzhar Marappan, 27, yang sering membeli-belah dan menjamu selera di Singapura dengan rakan-rakan dan keluarganya setiap minggu berkata beliau mungkin akan mula berkongsi kereta untuk menjimatkan kos.

"Caj sedia ada seperti VEP dan tol seolah-olah masih tak cukup, sekarang kita perlu membayar tambahan S$6.40 pula," beliau mengeluh.

Pengurus jualan Shareen Kaur, 30, yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja berkata beliau sanggup bangun lebih awal untuk menaiki pengangkutan awam daripada membayar lebih untuk RCC.

"Pada hari tertentu saya akan memandu ke Singapura tetapi dengan pelaksanaan RRC bulan depan, saya rela menempuh orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Tetapi bagi ahli perniagaan Haziq Hakim, 30, yang memasuki Singapura dua kali seminggu bersama ibu bapanya berkata beliau tidak akan membawa ibu bapanya itu menaiki  pengangkutan awam.

Pengangkutan awam mengambil masa antara 45 minit dan satu jam untuk menyeberang ke Singapura termasuk masa yang dihabiskan untuk beratur di kaunter imigresen.

Dan mereka perlu bangun awal, dengan terdapat pengguna yang perlu menaiki bas pada pukul 3 atau 4 pagi.

Bagi yang memandu ke sana, ia adalah mudah jika trafik lancar kerana hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit.

Tetapi jika berlaku kesesakan, perjalanan boleh terganggu sehingga dua jam. Lebih banyak kereta dilihat pada hujung minggu.

RRC, caj jalan raya, tambak Johor

Artikel Sebelum

Artikel Lain