suria

Duterte Sahkan Penahanan Anak Lelaki Pemimpin MNLF Di Malaysia

Rodrigo Duterte. Foto AFP

DAVAO CITY: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengesahkan penahanan anak lelaki kepada pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut artikel CNN, Duterte berkata, Datu Mohammad Abduljabbar Sema ditahan di Malaysia kerana penglibatannya dalam insiden pengeboman di Davao City yang mengorbankan 15 orang pada September tahun lalu.

Mohammad Abduljabbar merupakan anak lelaki kepada pemimpin MNLF, Muslimin Sema dan ahli kongres wanita Maguindanao, Bai Sandra Sema.

Duterte tidak mengulas lanjut mengenai bagaimana Mohammad Abduljabbar terlibat dalam insiden serangan di Davao pada September lalu.

Beliau bagaimanapun mengaitkan Mohammad Abduljabbar dengan kumpulan pengganas Maute.

"Mereka... ahli Maute (yang terlibat dalam insiden pengeboman), kesemua mereka telah diambil kira. Saya telah tangkap kesemua mereka. Salah seorang daripada mereka adalah anak lelaki Sema, Datuk Bandar Cotabato. Dia kini ditahan di Malaysia," kata Duterte dalam ucapannya.

Kumpulan pengganas Maute dipersalahkan berhubung serangan ke atas pasar malam Davao pada 2 September tahun lalu yang meragut 15 nyawa dan mencederakan 70 yang lain. 

Artikel Lain