suria

Berita Pelantikan Pemangku Ketua Menteri Sarawak Tidak Benar

Douglas Uggah Embas.

KUCHING: Penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp bahawa Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri Sarawak adalah tidak benar.

Jurucakap Jabatan Ketua Menteri berkata berdasarkan pemeriksaan beliau dengan Astana Negeri, maklumat itu didapati tidak benar.

"Maklumat itu tidak benar. Saya sudah periksa dengan pegawai Astana Negeri," katanya.

Maklumat itu menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp berikutan kematian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, 72, di Pusat Jantung Kota Samarahan, di sini pada 1.20 tengah hari Rabu akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak dalam satu kenyataan petang Rabu turut menafikan maklumat mengenai pelantikan tersebut serta pergerakan upacara pengebumian Adenan pada Khamis.

"Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak (Astana Negeri) pada Rabu menafikan bahawa ada melantik mana-mana kakitangan mewakili Pejabat Astana Negeri untuk membuat kenyataan pemangkuan Ketua Menteri dan pergerakan majlis pengebumian Ketua Menteri Sarawak Adenan," kata kenyataan tersebut.

"Kenyataan yang dibuat di media sosial adalah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggunakan nama pejabat tersebut untuk mendapat perhatian," kata kenyataan itu.

Untuk pengetahuan awam, Pejabat Yang Dipertua Negeri tidak terlibat dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Politik Negeri Sarawak, kata kenyataan itu. - BERNAMA


Artikel Lain