suria

"Saya Beri Maklumat Dua Lagi Siasatan Kes Rasuah" - Idris

Idris Haron.

MELAKA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh maklumat mengenai dua lagi kes rasuah berprofil tinggi di negeri ini selain kes membabitkan pegawai kanan kerajaan negeri, dedah Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron.

Idris berkata mesyuarat pada Isnin dengan SPRM adalah untuk menyediakan maklumat penting mengenai semua kes anti rasuah yang dilaporkan sepanjang tahun 2016.

"Pegawai SPRM amat bersopan dan menghargai kesediaan saya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Amat mengecewakan apabila sebuah akhbar harian menggambarkan saya sebagai salah seorang yang disiasat tanpa mendapatkan fakta yang tepat.

"Editor harus bertanggungjawab terhadap laporan tidak tepat yang digunakan pembangkang untuk melemahkan usaha saya dalam memerangi gejala rasuah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Seri Negeri di sini Rabu.

Idris berkata sebagai Ketua Menteri, beliau dapat memberi penerangan mengenai beberapa elemen tertentu yang dikaitkan dengan siasatan tersebut.

"Mesyuarat itu diaturkan terlebih dahulu apabila saya bersedia untuk mendedahkan semua maklumat penting dan tiada dokumen dirampas sebagaimana dilaporkan dalam artikel tersebut," katanya.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan Idris hanya membantu siasatan.

Dilaporkan pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang ditahan oleh SPRM pada 28 November 2016 dipercayai meminta wang sogokan sebagai pertukaran untuk kelulusan projek bernilai jutaan ringgit.

SPRM turut menahan seorang kontraktor berusia 70 tahun berkaitan siasatan kes tersebut.

Difahamkan SPRM telah membekukan 22 akaun bank pegawai kanan itu dan ahli keluarganya dengan dana berjumlah RM11 juta dan 24 akaun milik kontraktor terbabit.



Idris Haron, SPRM, kes rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain