suria

18 Pelajar, Seorang Guru Sekolah Dipercayai Keracunan Makanan

SMK Ayer Keroh.

MELAKA: Lapan belas pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh di sini dikejarkan ke Hospital Melaka pada Rabu selepas muntah-muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata mangsa 16 pelajar lelaki, dua pelajar perempuan dan guru wanita berusia 46 tahun muntah selepas makan nasi goreng dibeli di kantin sekolah itu.

Beliau berkata semua pelajar, terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua, serta guru tersebut dikesan mula muntah-muntah kira-kira 1 tengah hari Rabu sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.

"Siasatan awal mendapati semua mangsa membeli nasi goreng di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat daripada operator kantin yang baru dua minggu berniaga di premis berkenaan.

"Jabatan Kesihatan negeri telah mengarahkan penutupan premis berkenaan serta-merta selama tujuh hari bagi operator kantin itu menjalankan kerja pembersihan. Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Melaka di sini, Rabu.

Yunos berkata semua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka oleh Unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Ayer Keroh dan dua ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1.45 tengah hari Rabu.

Beliau berkata 12 mangsa termasuk guru tersebut dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kira-kira 3.30 petang Rabu manakala lima pelajar masih di rawat di hospital berkenaan dan dua lagi dihantar ke Hospital Putra di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang masih dirawat di kedua-dua hospital berkenaan masih dalam keadaan lemah dan pihak kami masih memantau keadaan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain