suria

Pengeboman Kelab Malam Movida: Peguam Tertuduh Tarik Diri

Suspek pengeboman Movida, Jonius (depan) dan Imam Wahyuddin.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Januari ini untuk melantik peguam baharu bagi dua lelaki yang dituduh dalam kes pengeboman kelab malam Movida Jun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas peguam bagi Imam Wahyudin Karjono, 21 dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, menarik diri pada permulaan perbicaraan itu di sini, Rabu.


Imam diwakili Wong Kar Fai dan Farida Mohammad, manakala Jonius diwakili oleh Aaron Mark Pius dan Kong Jiun Yuan.

Timbalan Pendakwa Raya bagi kes ini adalah Saiful Edris Zainuddin dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.


Dalam prosiding itu, yang ditangguhkan kerana Imam tidak dibawa ke mahkamah, peguam kedua-dua tertuduh telah meminta penangguhan perbicaraan.


Mereka berkata memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan dokumen lengkap pembelaan anak guam mereka.

Bagaimanapun, hakim Nordin berkata, alasan itu tidak wajar kerana semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan pada akhir Disember tahun lepas.

"Alasan yang diberikan untuk penangguhan tidak wajar kerana semua dokumen telah diberikan pada 30 Disember.

"Tetapi peguam telah meminta untuk menarik diri dan saya tidak mempunyai kuasa untuk membantahnya.

"Peguam-peguam itu tidak lagi akan mewakili tertuduh pertama dan kedua.

"Jika tertuduh memerlukan seorang peguam yang dilantik oleh mahkamah, kami akan melantik seorang peguam untuk mereka," katanya sebelum menangguhkan perbicaraan.

Perbicaraan kedua-dua lelaki itu dijangka bermula pada Rabu, dengan pendengaran keterangan daripada 12 saksi selama dua hari.

Kar Fai, yang mewakili Imam, kemudian memberitahu pemberita bahawa peguam pembelaan telah mengemukakan permohonan untuk penangguhan atas sebab-sebab peribadi pada Isnin, tetapi ia telah ditolak.

"Saya baru sahaja pulang dari United Kingdom pada Jumaat lepas manakala Farida sedang pulih daripada denggi," katanya.

pengeboman Puchong, Movida

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain