suria

Adenan Satem Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia kerana komplikasi sakit jantung, tengah hari Rabu.

Bapa kepada lima anak ini bakal meraikan hari lahirnya yang ke-73, dua minggu lagi iaitu pada 27 Januari ini.

Kematian Adenan disahkan beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi posting di Twitter.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih TS Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Saya akan ke Sarawak utk ziarah jenazah.

"Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar. Malaysia kehilangan pemimpin berwibawa. Takziah kpd keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," demikian tulis beliau menerusi Twitter.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi posting di Twitter mencatatkan: "Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah.

Begitu juga, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Salam takziah atas kehilangan Ketua Menteri Sarawak. Alfatihah," tulisnya di Twitter.

Adenan meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari di Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan, Kuching. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan.

Pemimpin yang disegani ramai ini baru lapan bulan menerajui Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu.

Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.

Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tan Sri', selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.

Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.

Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: "Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak 'gilakan pangkat'.

"Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri."

Artikel Sebelum

'Ulat Tiket' Didenda RM3,000

Artikel Lain