suria

Ops Lusuh: Empat Warga Afrika Dicekup

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga Afrika ditahan dalam operasi Ops Lusuh oleh sepasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul semalam kerana gagal mengemukakan dokumen terhadap barang terpakai yang dimiliki.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R.Munusamy berkata mereka yang berumur lingkungan 29 hingga 47 tahun itu turut ditahan kerana tidak memiliki lesen yang sah untuk menjual barang terpakai di dalam premis perniagaan di Taman City, Jalan Kuching di sini pukul 3.30 petang Selasa.

"Polis telah merampas 22 jenis barang termasuk empat buah enjin pelbagai jenis kenderaan, beberapa buah laptop, televisyen LCD dan pemain DVD.

"Selain premis perniagaan, kami juga membuat pemeriksaan ke atas kedai-kedai pajak untuk mengenal pasti sebarang kecurigaan terhadap barang pajak yang dibeli oleh kedai pajak," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPD Sentul di perkarangan IPD Sentul, di sini pada Rabu.

Katanya polis sedang mengenal pasti sumber barang terpakai itu.

Beliau berkata pasukannya telah menjalankan operasi terhadap perniagaan barang lusuh dan mendapati banyak premis perniagaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan melanggar peraturan perniagaan.

Munusamy berkata operasi berkenaan dijalankan sejak dua bulan lepas dengan  300 premis jualan barang lusuh diperiksa.

Kesemua warga Afrika itu direman selama 14 hari berkuat kuasa hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya kerana gagal memberi penjelasan terhadap barang yang dimiliki.

Selain itu, warga Afrika itu turut melanggar syarat-syarat pas lawatan kerana menjalankan perniagaan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Ops Lusuh, Afrika

Artikel Lain