suria

Paras Air Dua Empangan Negeri Sembilan Kembali Stabil

Gambar fail Empangan Kelinchi ketika surut akibat cuaca panas.

SEREMBAN: Paras air di Empangan Sungai Terip dan Empangan Kelinchi yang membekalkan air kepada penduduk di kawasan Seremban masih stabil meskipun belum lagi mencapai tahap maksimum.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keadaan itu tidak kritikal dan pihaknya akan terus memantau keadaan paras air di kedua-dua empangan tersebut.

"Kita sedang mengepam air dari Empangan Ulu Muar untuk masuk ke Empangan Talang dan empangan ini juga boleh menjadi 'feeder dam' kepada Empangan Kelinchi dan air dari empangan itu juga akan masuk ke dalam Empangan Sungai Terip.

"Selain Empangan Talang, Empangan Teriang di Jelebu juga akan digunakan sebagai feeder dam kepada Empangan Sungai Terip," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, Rabu.

Mohamad berkata pengguna di daerah Seremban perlu berhemah kerana didapati penggunaan air di daerah berkenaan amat tinggi.

Paras air di lima lagi empangan iaitu Talang, Pedas, Gemencheh, Ulu Sepri dan Teriang bagaimanapun berada pada paras maksimum, katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak termasuk industri yang ingin mengambil air mentah bawah tanah agar mendapatkan lesen atau permit daripada Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan terlebih dahulu.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan undang-undang. - BERNAMA

Artikel Lain