suria

Pengebumian Adenan Esok, Sarawak Berkabung 7 Hari

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula Khamis sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, berkata sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara rasmi ditangguhkan.

Beliau berkata, sesuai dengan kedudukan Allahyarham sebagai pemimpin yang banyak berjasa, majlis pengebumian negeri akan diadakan esok.

"Jenazah Tan Sri Adenan akan dibawa dari kediamannya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya untuk majlis penghormatan terakhir oleh rakyat dan kenamaan pada jam 10.30 pagi.

"Jenazah akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya selepas solat Zuhur," katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari turut mengisytiharkan Khamis sebagai hari Hari Kelepasan Am buat negeri berkenaan.

Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan pada pukul 1.24 petang kerana komplikasi jantung.
Adenan Satem, Kuching

Artikel Berikut

Artikel Lain