suria

Pasar Chowrasta Akhirnya Dibuka Semula

Lim Guan Eng ketika meninjau di kedai buku terpakai di Pasar Chowrasta selepas merasmikan premis itu yang kini kembali beroperasi.

GEORGE TOWN: Pasar berusia 126 tahun yang sinonim dengan warisan Pulau Pinang, pasar Chowrasta di sini, dibuka semula secara rasmi pada Sabtu selepas menjalani pengubahsuaian untuk menaik taraf pasar itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pengubahsuaian itu akan membantu mewujudkan suasana menarik dan memudahkan penjualan dan pembelian barang di pasar itu.

"Pasar Chowrasta merupakan pasar yang sangat istimewa di Pulau Pinang kerana ia adalah yang terbesar, paling hijau dan diharapkan apabila dinaik taraf, ia akan menjadi pasar terbersih di seluruh negeri," katanya pada majlis pembukaan semula pasar itu di sini.

Guan Eng berkata pasar itu juga merupakan pasar paling mesra alam di Pulau Pinang setelah mendapat penarafan perak di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) menjadikannya pasar paling hijau di negeri ini.

Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf pasar itu bermula pada 2013 bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dari 24 Ogos 2015 ke 30 November tahun lepas kerana menghadapi banyak masalah semasa proses pengubahsuaian.

Sementara itu, Datuk Bandar Datuk Patahiyah Ismail berkata projek pengubahsuaian pasar itu merupakan sebahagian daripada pelan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menaik taraf pasar dan kedai makan di negeri ini sejak 2009, dengan kos sekitar RM13 juta.

Beliau berkata projek itu dijalankan oleh MBPP dengan mengambil kira pandangan dan permintaan orang ramai menerusi konsep 'Bajet Berasaskan Outcome'.

"Kami berharap setelah dinaik taraf, kami dapat mewujudkan ruang yang selesa dan memenuhi keperluan bukan sahaja vendor dan penjual di sini tetapi juga pengunjung dan pengguna yang datang ke sini setiap hari," katanya.

Pasar itu kini mempunyai 339 gerai yang mana 240 merupakan pasar di bahagian luar, 81 gerai menjual barangan am dan 18 gerai makanan dan minuman.

Ia juga dilengkapi dengan eskalator, lif dan kompleks tempat letak kereta lima tingkat yang menyediakan kira-kira 120 lot parkir.-- Bernama

Chowrasta, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain