suria

Kurup Beri Amaran Kepada DAP, Kit Siang

Tan Sri Joseph Kurup

PETALING JAYA: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup memberi amaran kepada DAP dan penasihatnya, Lim Kit Siang untuk tidak menggalakkan 'pelampau politik' di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan negara itu menuduh ahli politik veteran DAP itu cuba mencemarkan hati dan minda rakyat Sabah dengan sifat kebencian politik.

Maklum balas itu diberikan susulan kunjungan Kit Siang ke Pensiangan, kawasan Parlimen Kurup baru-baru ini, di mana beliau didakwa cuba untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap parti-parti komponen Barisan Nasional berhubung Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

"Ahli-ahli politik seperti Lim Kit Siang seolah-olah tiada batasan apabila sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamatnya untuk mengembangkan pengaruh DAP di Sabah tercapai, walaupun tindakannya itu menggalakkan ekstremisme politik di Pensiangan yang tenang dan aman ini.

"Untuk makluman, saya ingin mengingatkan Lim bahawa rakyat Sabah mungkin baik hati, tetapi kami tidak akan meninggalkan prinsip-prinsip teras kami yang menolak segala macam pelampau politik dan agama dari mana-mana parti, terutamanya parti politik dari Semenanjung seperti DAP yang tidak pernah menjadi faktor positif dalam demografi politik di Sabah," kata Kurup dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam posting blognya minggu lepas, Kit Siang mencadangkan 'Formula Pensiangan' untuk menangani 'kebuntuan politik dan perlembagaan' yang tercetus daripada cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah).

Kurup juga mencabar DAP dan Kit Siang untuk menunjukkan sumbangan parti itu kepada rakyat Sabah dan Pensiangan dalam beberapa dekad yang lalu.

"Mungkin dia boleh mula dengan menyenaraikan apa yang telah dilakukan untuk pengundi di Gelang Patah yang memilihnya sebagai ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu kerana dia adalah seorang hakim yang baik terhadap rekod perkhidmatan ahli-ahli Parlimen lain," kata Kurup.

Joseph Kurup, Pensiangan, RUU 355

Artikel Berikut

Artikel Lain