suria

Syabas Janji Bekalan Air Kawasan Terjejas Diagih Secara Efisien

KUALA LUMPUR: Bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan bermula Isnin hingga Sabtu ini, berikutan kerja penyenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor pada Isnin, akan diagihkan secara berjadual dalam tempoh berkenaan.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan memastikan bekalan air diagihkan dengan lebih efisien di  kawasan-kawasan terlibat di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur, setelah loji beroperasi semula.

Katanya loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 akan henti tugas separa (tidak beroperasi sepenuhnya) pada Isnin berikutan kerja-kerja penyelenggaraan itu.

"Ketiga-tiga loji rawatan air masih beroperasi separa dengan penggunaan generator yang berupaya membekalkan kuasa elektrik antara 50 hingga 60 peratus.

Oleh itu, pengeluaran air terawat di ketiga-tiga LRA itu tidak mencukupi untuk dibekalkan ke semua kawasan," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata sebanyak 814 kawasan sekitar Lembah Klang melibatkan lebih 707,759 akaun atau 3,892,641 pengguna akan menghadapi gangguan bekalan air Isnin depan.

Syabas dalam kenyataan itu turut menasihati pengguna supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi sepanjang tempoh gangguan air sementara itu.

"Bekalan air bantuan akan dihantar melalui lori tangki air ke zon yang masih mengalami gangguan bekalan air kerana paras air rendah di kolam takungan air," katanya.

Pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER<jarak>Nama  and  Alamat.

Pengguna boleh merujuk kepada laman web www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar "mySyabas" atau Facebook "Air Selangor" untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung gangguan bekalan itu.

Sementara itu, TNB dalam satu kenyataan berasingan menjelaskan kerja-kerja penyelenggaran ke atas Pencawang Masuk Utama (PMU) miliknya itu adalah penyelenggaran pencegahan yang dilakukan setiap tiga tahun dan bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan elektrik di PMU itu pada masa hadapan.

Selain itu, katanya pemasangan sistem perlindungan arka akan dilaksanakan pada hari yang sama sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya sebarang kerosakan atau gangguan bekalan elektrik yang tidak terancang atau secara tiba-tiba.

"Kerja-kerja ini telah dirancang lebih awal oleh TNB (bermula 27 September) dan tarikh 19 Disember telah diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh SPAN pada 31 Oktober lalu," katanya.

Artikel Lain