suria

Selangor Berjaya Tangguh Cadangan Persempadanan Semula

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu setelah mendapati kerajaan negeri itu mengikut semua peraturan berkaitan permohonan berkenaan dan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan itu.

Beliau juga berkata Kerajaan Selangor mempunyai hak untuk membantah cadangan persempadanan semula itu.

Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu pendengaran permohonan semakan semula kehakiman Kerajaan Selangor pada 20 Januari.

Azizul Azmi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Dr Cyrus dan Datuk S.Ambiga yang mewakili Kerajaan Selangor dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh, Suzana Atan serta Azizan Md Arshad yang mewakili SPR, pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, dan setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pagi ini, mahkamah itu membenarkan permohonan kebenaran oleh Kerajaan Selangor untuk mendapatkan semakan kehakiman dan menetapkan 20 Jan sebagai tarikh untuk mendengar merit permohonan semakan berkenaan.

Pada 19 Oktober, Kerajaan Selangor, yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan kebenaran bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri di Selangor oleh SPR.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Anggota Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan SPR bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional berlandaskan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mendapatkan, antara lain, satu perisytiharan bahawa notis yang disiarkan tidak mempunyai butiran terperinci, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk membuat representasi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain