suria

PDC Nafi Dapat RM1.7 Bilion Melalui Jualan Tanah

GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyangkal laporan bahawa ia meraih pendapatan RM1.7 bilion daripada penjualan tanah di negeri ini antara 2008 dan 2015.

Pengerusinya, Lim Guan Eng, yang juga Ketua Menteri, berkata PDC hanya merekodkan keuntungan bersih RM147 juta daripada hasil jualan tanah berjumlah RM1.94 bilion.

"Kosnya sebanyak RM1.8 bilion melibatkan pemerolehan tanah, kos pembangunan bagi tanah berkenaan dalam menyediakan infrastruktur dan kos pemegangan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Satu laporan minggu lepas menyebut bahawa Parti Cinta Malaysia (PCM) mempertikai tindakan Kerajaan Pulau Pinang memberi sejumlah besar pinjaman kepada PDC apabila jualan tanah oleh agensi negeri itu menjana pendapatan RM1.7 bilion dalam tempoh lapan tahun lepas.

Lim berkata PDC akan terus menggunakan keuntungan sebanyak RM147 juta yang diperolehnya bagi pembangunan ekonomi untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah lokasi pilihan pelabur, destinasi pilihan pelancong dan habitat pilihan untuk kehidupan bandar raya yang menggembirakan.

Katanya PDC juga perlu menerajui usaha untuk membolehkan Pulau Pinang mengambil bahagian secara aktif dalam revolusi Industri Analitik Data Raya keempat, pengkomputeran awan, Internet of Things dan e-Dagang.

PDC, Lim Guan Eng

Artikel Lain