suria

Saya Tidak Akan Tutup Mata, Membisu - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Ahad. -fotoAFP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa beliau tidak sesekali akan menutup mata atau membisu terhadap isu penindasan dan kezaliman ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Najib berkata, Malaysia tetap teguh dengan pendirian bahawa nasib umat Islam wajib dibela dan akan menentang sebarang bentuk kekejaman yang mencabuli hak asasi manusia.

"Apa mereka (Myanmar) nak suruh saya buat? Nak suruh saya buat macam mana sebagai ketua yang mewakili 31 juta rakyat Malaysia.Tutup mata? Bisu?

"Tetapi saya tak akan tutup mata dan membisu sebab mereka ini (etnik Rohingya) mesti kita bela, bukan saja sebab seakidah dengan kita, mereka juga manusia yang ada hak dan nyawa mereka," katanya ketika berucap di hadapan ribuan peserta Himpunan Solidariti untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa di sini, Ahad.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pimpinan Umno dan PAS.

Najib berkata perhimpunan ini akan memberi isyarat langsung kepada kerajaan Myanmar dan pemimpinnya Aung San Suu Kyi bahawa pendirian Malaysia cukup tegas dalam isu ini walaupun beliau menerima ugutan oleh kerajaan negara itu agar tidak campur tangan.

"Kita nak minta Aung San Suu Kyi 'enough is enough' (hentikan).

"Beliau gertak saya, beri amaran kepada saya. Saya tak peduli, sebab saya hadir bukan atas nama tubuh badan saya atau bukan atas nama Najib Razak tapi atas nama ummah dan rakyat Malaysia seluruhnya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan kerajaan Myanmar pada Jumaat yang menyatakan bahawa jika Najib hadir di perhimpunan ini, beliau akan dianggap sebagai mencampuri urusan dalam Myanmar.

Beliau juga menceritakan bagaimana Suu Kyi menolak untuk berbincang tentang isu Rohingya dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Beliau (Suu Kyi) kata kalau nak jumpa bincang isu bilaterial 'yes' tapi tidak untuk bincang isu Rohingya.

"Mana boleh, kita kena bincang segalanya sebab kita komuniti Asean. Apa maknanya Hadiah Nobel Kamanan itu?," soal Najib.

Najib menegaskan bahawa Piagam Asean, turut menyebut tentang soal mempertahankan hak asasi manusia.

"Dia (Myanmar) baca satu (artikel) saja iaitu tak boleh campur tangan urusan negara lain, dia tak baca artikel yang lain bahawa Asean juga perlu menegakkan hak asasi manusia.

"Mereka ini buta ke? Janganlah tafsir ikut suka hati," katanya.

Najib menambah, beliau juga akan meminta Presiden Indonesia Joko Widodo untuk mengadakan perhimpunan yang sama di Jakarta.

Selain itu beliau juga menggesa agar pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak dalam isu ini.

"Kita akan bertindak menggunakan saluran apa saja, kita perlu beri tekanan," katanya.

Najib Tun Razak, Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain