Pengasuh Wanita Dipercayai Dera Bayi Ditahan - Semasa | mStar

Pengasuh Wanita Dipercayai Dera Bayi Ditahan

IPOH: Seorang pengasuh wanita ditahan polis kerana dipercayai mendera seorang bayi perempuan berumur 11 bulan di sebuah taska dekat Pantai Remis, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata wanita berumur 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Samudera dekat Seri Manjung, selepas ibu saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Sitiawan pada 2 pagi Isnin.

"Selepas mengambil bayi berkenaan di pusat asuhan, ibu saudara mangsa yang juga seorang guru di taska sama mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya.

"Ketika berada di rumah, mangsa muntah dan terdapat kesan bengkak di belakang kepala dan belakang telinga kiri dan kanan serta calar pada bahu kanan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Selasa.

Gan berkata ibu saudara mangsa berumur 25 tahun itu telah membawa bayi berkenaan ke Hospital Manjung untuk membuat pemeriksaan, dan bayi itu disahkan didera berdasarkan kecederaan luar yang dialaminya.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan wanita itu direman selama tiga hari bermula pada Isnin. - BERNAMA


pengasuh , dera bayi , taska

Artikel Sebelum

Tiga Sayap Umno Mula Bersidang

Artikel Berikut

Tiga Sayap Umno Ikrar Solidariti

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM