suria

Waspada ‘Pembangkang Senyap’ - Zahid

KUALA LUMPUR: Ahli Umno diingatkan supaya berwaspada dengan kehadiran musuh baharu politik yang bersembunyi menerusi platform digital.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kini bukan sahaja berhadapan musuh tradisi yang boleh dibezakan dengan lambang politik sebaliknya turut diancam pihak yang menyembunyikan identiti sebenar mereka.

"Musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan ini wujud tanpa kita sedari melalui platform dan gajet IT (teknologi maklumat).

"Kita perlu berhati-hati dan berwaspada kerana penanaman bibit-bibit ke arah mewujudkan komuniti kepembangkangan yang senyap ini dibuat dengan penuh teliti dan rapi,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2016 pada Selasa malam.

Selain itu, menerusi ucapan yang bertemakan ‘Dasawarsa Politik Mencabar’, Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas timbalan presiden Umno berkata, kehadiran komuniti pembangkang baharu itu dapat dirasai dengan jelas menerusi alam maya.

"Abad ke-21 ternyata telah mengubah landskap pembangkang kepada wujudnya suatu kelompok kepembangkangan, yang berpaksikan kepada dunia digital.

"Kita tidak nampak mereka secara jelas, tetapi kita dapat merasai kehadiran golongan kepembangkangan ini menerusi alam maya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, ahli Umno juga tidak boleh ketinggalan dalam penggunaan teknologi maklumat bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan kepada parti.

"Saya ingin menggagaskan kepada ahli-ahli sayap Umno supaya bijak menguasai ruang siber atau cyberspace secara serius dalam menangkis pelbagai fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan dari pihak seteru politik kita.

"Kita perlu keluar dari kepompong lama yang hanya pandai melihat dan memadam api, sebaliknya kita perlu proaktif mencari kelemahan pihak lawan dengan peluru-peluru fakta yang boleh menyedar dan menyakinkan khalayak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menggesa gerakan cybertrooper Umno supaya bersatu merancang strategi bagi menentang musuh baharu berkenaan.

"Angkatan cybertrooper perlu bersatu dalam menyusun strategi menentang musuh, bukannya sering berbalah sesama sendiri.

"Malah, saya tahu terdapat di kalangan mereka terjebak dengan agenda mempromosikan saudagar-saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu. Seharusnya kita perlu mencari titik pertemuan dan penyatuan pemikiran dan mengenepikan jurang perbezaan,” katanya.

Ahmad Zahid, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain