suria

Kumpul Kekuatan Hadapi Perang Besar PRU-14 - Zahid

Zahid Hamidi bersama Pergerakan Wanita Umno sebelum majlis perasmian serentak persidangan ketiga-tiga sayap parti sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 November 2016. FAIHAN GHANI/The Star.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pergerakan sayap parti perlu menumpukan kekuatan bagi menghadapi 'perang yang lebih besar' pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Zahid yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti berkata, kekuatan itu bertujuan untuk menarik lebih banyak sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Kita tiada pilihan, melainkan menang, menang dan terus menang dalam PRU ke-14 nanti, demi kepentingan agama, orang Melayu, institusi raja dan rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa malam.

Zahid berkata, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri terus menjadi nadi penggerak utama dalam menentukan Umno terus relevan dan berkesinambungan.

Berdasarkan prestasi PRU-13 yang lalu, katanya, seramai 33 calon Wanita, 26 calon Pemuda dan lapan calon Puteri berjaya menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sekali gus merupakan suatu pencapaian yang membanggakan parti.

Sehubungan itu jelas Zahid, beliau akan berusaha untuk mengusulkan penambahan bilangan calon dari ketiga-tiga sayap untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Pada PRU ke-14 nanti, saya sendiri akan membisikkan dan membisikkan lagi kepada presiden kita untuk menambah bilangan calon-calon, dalam kalangan tokoh-tokoh yang berada dalam ketiga-tiga pergerakan sayap.

"Namun, ada prasyarat manteranya. Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan, dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera dalam sayap-sayap pergerakan masing-masing," katanya.

Zahid Hamidi, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain