suria

"Saya Panik Tengok Penyerang Kejar Orang Ramai" - Pelajar Malaysia

Ali Samat
PETALING JAYA: Hanya penghadang kaca yang memisahkan pelajar Malaysia, Ali Samat dan adegan menakutkan di Ohio State University (OSU), di mana seorang lelaki telah melakukan serangan, mengakibatkan 11 orang cedera, sebelum penyerang ditembak mati oleh polis.

Pelajar Malaysia ini adalah salah seorang yang menyaksikan serangan yang berlaku dalam kawasan universitinya, pagi Isnin. Ali, 22, baru kembali ke kampus selepas cuti umum Hari Thanksgiving.


"Ia berlaku sekitar pukul 9.30 pagi. Ketika saya sedang berjalan, saya nampak sekumpulan orang di hujung jalan, tetapi saya tak fikir apa-apa," katanya kepada The Star.

"Saya pun duduk untuk menulis e-mel, ketika itu saya tengok orang ramai berlari ke sebelah lain (penghadang kaca).

"Barulah saya tertanya, apa yang sedang berlaku," katanya.

Beliau kemudian terus bangun dan ternampak seorang lelaki sedang memegang pisau berlari ke arah kumpulan pelajar yang sedang menjerit dan cuba melarikan diri.

Ketika itu juga beliau terpandang seorang pegawai polis sedang berlari mengejar penyerang.

"Pegawai polis itu menembak lelaki itu, tiga kali. Saya melihat dengan mata saya sendiri.

"Saya sebenarnya terkejut dan rebah melihat tembakan yang pertama. Ketika itu saya fikir 'apa yang patut saya buat'," katanya.

Katanya, penyerang itu terus berlari selepas ditembak pertama kali, tetapi tembakan kali kedua menyebabkan dia jatuh, sebelum tembakan ketiga dilepaskan.

Ali berkata, ketika itu beliau terus kaku di tempat kejadian.

"Saya tak sanggup untuk melihat mayat pada pagi itu. Saya menggigil," katanya, sambil menambah pelajar-pelajar di dalam bangunan diminta terus berada di situ sehingga selepas tengah hari.

Beliau berkata, pelajar Malaysia sering menghubungi satu sama lain melalui panggilan telefon dan aplikasi pesanan mesej semasa dan selepas kejadian.

"Saya sangat bersyukur kerana semua orang mengambil berat antara satu sama lain," katanya.

Seorang lagi pelajar, Saufi Mohd Nor, 22, berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan sedang bekerja di gym kampus.

Saufi Mohd Nor


"Lebih kurang pukul 9.45, saya dan rakan sekerja sedang berbual dan tiba-tiba dikejutkan dengan sekumpulan pelajar yang berlari ke gym.

"Mereka kata, 'kami dengar bunyi tembakan'.

"Semua orang mula panik," kata Saufi, sambil menambah pekerja-pekerja gym mula menutup gym sebagai langkah keselamatan.

"Kami bawa semua orang masuk ke bilik di belakang gym. Pekerja di sini telah diberi latihan kecemasan," katanya.

Beliau berkata, mereka terus berada di bilik itu sehingga pihak berkuasa membenarkan mereka pulang ke rumah, selepas memastikan kawasan itu selamat.


Pelajar Muhammad Hariz Mohd Radzi berkata beliau sedang berada dalam kelas di Makmal Evans, apabila pensyarah menerima maklumat dan memberitahu mengenai serangan itu.

Muhammad Hariz Mohd Radzi


Kelasnya itu terletak di seberang jalan dari tempat kejadian.

"Kami takut, tetapi pensyarah mengawal keadaan dengan baik," kata Muhammad Hariz, sambil menambah mereka menghadang pintu dengan menyusun kerusi.

"Seorang gadis datang sambil menangis, dia nyaris dilanggar kereta penyerang. Dia trauma!," katanya.

Beliau berkata bangunan itu diawasi selama satu setengah jam sebelum pelajar dibenarkan beredar.

Noorfaiqah Ibrahim, 22, yang juga Presiden Majlis Pelajar AS Pantai Timur Malaysia, berkata beliau bernasib baik kerana tidak mempunyai kelas pada masa kejadian.

Noorfaiqah Ibrahim

"Saya tinggal kira-kira 10 minit berjalan kaki dari kampus dan saya merancang untuk ke sana untuk buat ulang kaji kerana peperiksaan semakin dekat. Tetapi saya terima mesej bahawa berlaku kecemasan di  kampus," katanya.


Semua 296 pelajar Malaysia yang menuntut di OSU dilaporkan selamat.

Reuters melaporkan bahawa insiden itu disiasat sebagai kemungkinan serangan pengganas.

Suspek dalam serangan itu, Abdul Razak Ali Artan, adalah pendatang berusia 18 tahun yang berasal dari Somalia dan menjadi penduduk tetap AS.

Abdul Razak telah memandu keretanya, merempuh kumpulan orang ramai dan kemudian melompat keluar untuk menikam orang sekeliling dengan pisau pemotong daging di kampus Columbus, kata Pengarah Keselamatan Awam universiti, Monica Moll.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain